JOHOR BAHRU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS) Johor merampas 1,320 kilogram (kg) udang harimau sejuk beku bernilai hampir RM6,600 disyaki cuba diseludup ke Singapura selepas menahan sebuah lori di Kompleks Sultan Abu Bakar di sini malam tadi.

Menurut MAQIS Johor pemeriksaan rutin pada 11.30 malam itu mendapati lori sejuk beku itu sepatutnya hanya membawa 3,880kg udang harimau seperti yang diikrarkan oleh ejen penghantaran namun didapati terdapat 5,200kg udang harimau di dalam kenderaan itu.

"Didapati jumlah udang harimau itu melebihi daripada kuantiti yang diikrarkan dan sehubungan itu sebanyak 1,320kg udang harimau dirampas untuk tindakan lanjut manakala pemandu lori berusia 39 tahun berkenaan dilepaskan selepas keterangannya diambil," menurut MAQIS Johor dalam kenyataan hari ini.

MAQIS Johor memaklumkan mengeksport apa sahaja jenis keluaran pertanian dengan memberikan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan, merupakan kesalahan di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

-- BERNAMA