Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menahan sebuah lori yang membawa pelbagai jenis ikan basah secara haram di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam malam tadi.

Pengarah MAQIS Kedah Lily Rosalind berkata, pihaknya merampas pelbagai jenis ikan basah seperti kekek, barat, gelama, bawal hitam, selar, kerisi dan pari.

"Semuanya sebanyak 608 kilogram, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM6,080.

"Kesalahan dilakukan adalah tidak mempunyai permit import yang dikeluarkan MAQIS," katanya.

Jelasnya, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit yang sah adalah menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Foto MAQIS

Sekiranya didapati bersalah, boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) Akta 728 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan COVID-19 ini, MAQIS sentiasa memantau dan memeriksa setiap pintu keluar masuk negara.

Ia bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.

Foto MAQIS