KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) bercadang untuk menempatkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di agensi itu dalam memastikan urus tadbirnya berada di tahap terbaik.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama Tan Sri Muhammad Ibrahim yang juga Ahli Majlis Mara untuk diperhalusi.

"Tan Sri Ibrahim beritahu, kita kena ada wakil SPRM untuk berada di Mara dan saya bersetuju.

"Perkara ini kita akan bincang dalam mesyuarat majlis minggu depan.

"Ini membuktikan komitmen kita tentang integriti dan tadbir urus yang baik. Mara ada agenda yang lebih besar daripada itu, jadi asas-asas ini perlu dibina daripada sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Mara Bersama Media di Hotel Premiera di sini, pada Jumaat.

Program itu dibuat sebagai salah satu inisiatif untuk meningkatkan jaringan kerjasama antara Mara bersama media yang dalam menyebarkan maklumat fungsi dan peranan Mara kepada orang awam.

Dalam pada itu, Asyraf turut memberikan jaminan untuk sedaya upaya mengelakkan ketirisan, kebocoran dan salah guna kuasa di pelbagai peringkat.

Jelasnya, ia bagi memastikan Mara terus cemerlang, selari dengan motonya iaitu merakyatkan Mara. - Sinar Harian