MALAYSIA
MARDI diminta kaji ancaman keladi agas terhadap tanaman padi - Mohamad Sabu

Mohamad Sabu melihat Varieti Padi Baharu Mardi MR 333 pada majlis pengisytiharan padi berkenaan di Maahad Al-Imam-An-Nawawi Lahar Minyak hari ini. - Gambar Bernama
KEPALA BATAS: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meminta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk menjalankan kajian menyeluruh mengenai keladi agas yang mengancam tanaman padi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kajian itu penting bagi mencari kaedah sesuai dalam mengawal pembiakan rumpai berkenaan supaya tidak menjejaskan pertumbuhan padi dan seterusnya pengeluaran hasil negara.
"Keladi agas tumbuhan yang lazim ditemukan di kawasan sawah padi tetapi masalahnya kini ia merebak dengan begitu cepat sehingga menjejaskan pertumbuhan padi. Dalam tempoh dua hingga tiga minggu sahaja, rumpai itu boleh memenuhi sawah dan menghalang padi membesar.
"Sebab itu saya minta pihak MARDI membuat kajian supaya kita dapat cari kaedah penyelesaian supaya padi dapat tumbuh dengan baik," katanya kepada pemberita pada Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Baharu MR 333 di Kampung Lahar Minyak di sini hari ini.Mohamad berkata masalah itu berlaku kepada pesawah di seluruh negara, namun kawasan paling teruk terjejas adalah di Seberang Perai Utara (SPU) di sini dan turut dikesan pada peringkat awal di Kedah.
KPKM turut melaksanakan usaha untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pesawah mengenai kepatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) kawalan yang ditetapkan bagi penggunaan racun untuk mengawal keladi agas.
"Kita sebenarnya sudah ada SOP untuk penggunaan racun bagi mengawal keladi agas. Sebagai contoh, ketika penyediaan tanah kita perlu melakukan semburan, kemudian antara 15 hingga 18 hari selepas menanam jadi kita minta pesawah mematuhi SOP ini supaya pembiakan keladi agas dapat dikawal," katanya.
Selain bergantung kepada penggunaan racun, beliau berkata pihaknya juga menggalakkan kaedah penanaman semula menggunakan sistem pelantar bagi mengurangkan pertumbuhan rumpai secara semula jadi.
Terdahulu, Mohamad memperkenalkan varieti padi baharu MR 333 dikenali sebagai Menora bagi memperkukuh daya saing sektor padi dan beras negara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami