KUALA LUMPUR:Institut Penyelidikan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) semalam melancarkan empat produk inovasi bioteknologi yang mampu mengesan sisa antibiotik, bahan kimia, biotoksin dan bakteria dalam hasil pertanian sekali gus meningkatkan kualiti serta tahap keselamatan produk pertanian dan agromakanan.

Produk itu ialah 'Antibiotic Sensor Kit' yang mampu mengesan sisa antibiotik dalam industri ternakan dan akuakultur serta 'Malachite Green Sensor Kit' yang mampu mengesan bahan kimia antikulat berbahaya yang digunakan bagi merawat parasit dan kulat pada ikan.

Dua lagi produk ialah 'Algae Bloom Biotoxin Sensor Kit' untuk mengesan mikroalga dan biotoksin yang menyebabkan pencemaran kepada air laut serta keracunan kepada kerang-kerangan manakala kit pengesanan bakteria secara pantas 'Foodborne Pathogen Test Kit' boleh mengenal pasti bakteria makanan seperti E.coli, Salmonella dan Listeria yang menyebabkan cirit-birit, muntah serta demam dan boleh membawa maut.

Kit yang dihasilkan MARDI itu dilengkapi peranti biosensor mudah alih berasaskan Android dengan rangkaian 4G, sistem kedudukan global (GPS) dan aplikasi mudah alih bagi pengesanan di lapangan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata teknologi yang dihasilkan MARDI menerusi kajian selama lima tahun itu berpotensi dimanfaatkan bukan sahaja oleh masyarakat Malaysia malah komuniti dunia yang mengutamakan keselamatan makanan.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan keempat-empat produk, beliau berkata kit pengesanan yang dibangunkan MARDI adalah mesra pengguna dan menjimatkan kos serta masa kerana hanya mengambil masa 48 jam bagi analisis pengesanan pencemaran berbanding kaedah kultur konvensional yang memerlukan tempoh sehingga enam hari.

Katanya inovasi MARDI mampu memudahkan pemantauan dan penilaian aktiviti kawalan keselamatan makanan bagi mencegah, mengesan serta menguruskan risiko penyakit bawaan makanan.

-- BERNAMA