MARDI perluas usaha pengeluaran ayam saga, tampung permintaan pasaran

Mohamad ketika melakukan lawatan kerja ke plot projek penyelidikan ayam saga Projek Inisiatif Ekonomi MADANI (IEM) MARDI Muadzam Shah hari ini. - Foto Bernama
ROMPIN: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan memperluas usaha pengeluaran ayam saga bagi menampung permintaan terhadap ayam kampung baka tempatan itu, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata sejak 2021, kira-kira 1.3 juta ekor ayam saga sudah dikeluarkan dengan MARDI akan meneruskan usaha berkaitan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kerana potensinya yang besar.
"Antaranya kita akan mengagihkan baka ayam saga kepada penternak yang berminat selain mereka boleh membeli di ladang pembaka," katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat dan lawatan kerja di MARDI Muadzam Shah di sini hari ini.
Ayam saga merupakan baka hasil penyelidikan jangka panjang MARDI sejak 2008 dan dibangunkan sepenuhnya daripada sumber genetik ayam kampung tempatan tanpa sebarang pengacukan dengan baka luar negara.
Ternakan itu mempunyai sifat tahan lasak dan sesuai diternak dalam pelbagai sistem pengeluaran termasuk sistem separa intensif, lepas bebas atau integrasi di ladang sawit, getah dan buah-buahan manakala harga pasarannya antara RM15 hingga RM25 sekilogram.
Mohamad berkata penternakan ayam saga juga akan dilaksanakan di Pulau Tioman, di sini dalam masa terdekat bagi membantu nelayan menjana pendapatan ketika musim tengkujuh.
Beliau berkata usaha itu bukan sahaja memperkukuh industri ayam kampung negara, malah menyokong agenda keterjaminan makanan melalui penggunaan sumber genetik tempatan.
Sementara itu, Mohamad berkata kerajaan menyasarkan pengurangan import benih sebanyak 30 peratus menjelang 2040 antaranya melibatkan kelapa dan ikan bawal emas.
"Banyak benih yang kita import antaranya sayur-sayuran, ikan dan baka ayam, kita nak kurangkan kerana melibatkan kos mencecah bilion," katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam kenyataan diedarkan memaklumkan antara keputusan yang dicapai melalui mesyuarat hari ini adalah mengukuhkan hala tuju benih kelapa dengan menyasarkan kadar sara diri (SSR) 100 peratus menjelang 2035 oleh Jabatan Pertanian.
Selain itu, Majlis Benih Negara juga memutuskan untuk melaksanakan pengeluaran benih ikan bawal emas secara domestik sebagai langkah memperkasakan industri akuakultur negara melalui kolaborasi bersama rakan strategik oleh Jabatan Perikanan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


