ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas A kerana melakukan kesalahan menggunakan sangkar besi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot nelayan itu dikesan ketika melakukan penangkapan ikan pada kedudukan 2.6 batu nautika barat muara Kuala Kedah, kira-kira pukul 6.50 petang Ahad.

“Hasil pemeriksaan mendapati, mereka menggunakan peralatan menangkap ikan yang salah iaitu sangkar besi.

"Bot nelayan terbabit dikendalikan lima kru termasuk tekong berusia 41 hingga 46 tahun.

"Salah seorang daripada kru disyaki warga Thailand," katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Noor Azreyanti berkata, mereka didapati melanggar syarat sah lesen di bawah seksyen 8(b), Akta Perikanan 1985 iaitu memiliki peralatan sangkar besi yang tidak dilesenkan ketika di laut dan Pekeliling Perlesenan Bil 5/2017 iaitu pelaksanaan syarat lesen vessel menangkap ikan tempatan dengan tidak boleh menggunakan peralatan menangkap ikan selain daripada yang dilesenkan.

Beliau berkata, bagi kru warga Thailand pula didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia.

"Tekong, kru dan bot yang ditahan kemudian diiring masuk ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.

"Nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang diperuntukan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, Zon Maritim Kuala Kedah tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dalam kawasan perairan negara.