Siapa sangka rekod yang dipegang pelumba lagenda Mick Doohan sejak 1997 untuk jumlah kemenangan paling banyak didalam satu musim dapat disamai oleh seorang yang berumur 21 tahun? Marc Marquez, yang sudahpun mengekalkan kejuaraan kelas premier MotoGP untuk tahun kedua berturut-turut berjaya merentas garisan penamat sebagai johan di Sepang.

Kejayaan anak muda dari Sepanyol ini turut memberi Honda kemenangan sebagai juara pengeluar untuk kali ke-21 pada kelas tertinggi.

Walaupun dominasi beliau sejak awal musim kelihatan sedikit goyang menjelang perlumbaan-perlumbaan terkahir musim ini, Marquez kembali menyengat, bermula dengan persembahan optimum pada detik akhir kelayakan dan seterusnya merebut petak pertama. Pencapaian ini – yang ke-13 untuk musim 2014 – sekaligus memperbaharui rekod jumlah pole position yang diperolehi dalam satu musim.

Kelebihan bermula di petak hadapan hilang di selekoh pertama apabila bertembung sedikit dengan Jorge Lorenzo dan turun ke tempat ke-6. Marquez kembali ke hadapan pada tempat ke-3 dengan pantas. Dihadapannya Lorenzo dan Rossi sedang bertukar tempat untuk tempat pertama, sebelum Rossi dan Marquez kedua-duanya dapat memintas Lorenzo yang bermasalah dengan cuaca panas.

Kemudian, Marquez pula memintas pelumba lagenda itu apabila beliau membuat kesilapan di selekoh 15. Begitulah kedudukan di atas litar sehinggalah membawa ke podium - Marc Marquez, Valentino Rossi, Jorge Lorenzo

Sekarang, pelumba Repsol Honda ini mempunyai satu sahaja peluang untuk memecah rekod Mick Doohan dan memenangi perlumbaannya yang ke-13 pada musim 2014 di Valencia pada 9 November nanti.