KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mengakui permasalahan yang berlaku dalam sistem pendidikan negara supaya pelbagai penambahbaikan dapat dilakukan.

Setiausaha Kehormat, Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE), Tunku Munawirah Putra berkata cara pengendalian sistem pendidikan perlu diubah dan dilaksana dengan tegas untuk memperbaiki sebarang kelemahan.

"Sebagai contoh, sudah tahu yang pendekatan yang diambil oleh metodologi sekolah amanah lebih efektif dan berkesan untuk meningkatkan keberkesanan pembelajaran, mengapa tidak dilaksanakan untuk semua sekolah?" soal beliau ketika dihubungi Astro AWANI.

Ditanya berkenaan negara contoh yang boleh diikuti Malaysia, katanya tidak ada sistem negara tertentu yang boleh diikut secara 100 peratus.

"Agak susah untuk mengambil contoh sebulat-bulatnya dari negara lain. Perlu disesuaikan untuk digunapakai untuk negara kita.

"Banyak contoh yang baik seperti dari Finland dan Jepun, tetapi harus dinilai dan disesuaikan untuk tahap sosio ekonomi pelajar dan pendidikan di sini.

"Apa yang penting ialah, anak-anak tidak akan dapat belajar apa-apa, dari guru yang mereka tidak sukai. Malah ia lebih mendatangkan padah.

"Jadi, gugurkan guru yang memalukan dan memburukkan nama mulia profesyen perguruan," katanya.

Antara perubahan besar yang dicadangkan beliau adalah pembaharuan pemikiran untuk mengubah cara pengajaran agar lebih berkesan dalam proses meningkatkan keberhasilan murid.

"Peranan guru itu penting. Guru wajar mendapat latihan dan dorongan yang terbaik untuk meningkatkan cara mereka mengajar," ulasnya.

Beliau turut mengakui, masalah terbesar dan yang susah untuk disingkirkan ialah ego.

"Perlu wujud cara efektif untuk menilai guru dan kakitangan di pelbagai peringkat agar yang lemah dan tidak berfungsi digugurkan," katanya.

Beliau berkata, terdapat laporan di Texas, Amerika Syarikat yang menunjukkan kesan negatif daripada guru yang lemah meninggalkan impak negatif kepada pelajar selama tiga tahun.