KUALA LUMPUR:Semua pihak perlu memartabatkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan di serata dunia.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia sekali gus meningkatkan pendapatan pelancongan yang merupakan indikator terpenting dalam memberi impak kepada ekonomi negara.

"Dalam hal ini, kita memilih untuk mengutamakan kualiti berbanding kuantiti, atau dalam istilah yang lebih mudah adalah kepada 'quality tourist' atau 'high yield tourist'.

"Selain itu, kita juga berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi ekopelancongan pilihan dunia berdasarkan tarikan semula jadi yang ada di Malaysia," katanya dalam ucapan alu-aluannya pada majlis pelancaran DPN 2020-2030 yang diadakan secara dalam talian hari ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 yang akan dilaksanakan menerusi enam teras strategik utama.

BACA: PM umum enam teras strategik pulihkan industri pelancongan negara

Jelas Perdana Menteri, ia merangkumi transformasi tadbir urus, mewujudkan zon pelaburan pelancongan yang inklusif, mempergiatkan digitalisasi pelancongan, memperkayakan pengalaman dan kepuasan pelancong, memperkukuhkan komitmen terhadap pelancongan lestari dan meningkatkan kapasiti modal insan dalam semua sub-sektor pelancongan.


Dalam pada itu Nancy berharap agar semua pihak bersatu hati menggerakkan Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030.

Nancy berkata melalui dasar berkenaan, tumpuan akan diberikan kepada pelancongan lestari.