MALAYSIA
MATA sokong peraturan baharu MOTAC tingkatkan keselamatan bas pelancongan

Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menyokong usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam melaksanakan peraturan baharu ke atas pengendalian bas pelancongan di Malaysia.
KUALA LUMPUR: Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menyokong usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam melaksanakan peraturan baharu ke atas pengendalian bas pelancongan di Malaysia.
Presidennya Datuk Seri Dr Mohd Khalid Harun JP berkata langkah ini amat penting dan tepat pada masanya susulan kebimbangan meningkat terhadap tahap keselamatan kenderaan pelancongan komersial di jalan raya, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Peraturan baharu yang akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos ini menetapkan syarat yang lebih ketat termasuk penyelenggaraan kenderaan yang lebih kerap, had waktu bekerja pemandu, pemasangan sistem penjejakan GPS serta pemeriksaan keselamatan mandatori setiap enam bulan.
"Inisiatif ini bagi memperkukuh keyakinan awam terhadap sektor pengangkutan pelancongan dan memastikan keselamatan lebih terjamin kepada pelancong tempatan serta antarabangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.Beliau berkata data daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan lebih 2,300 kemalangan melibatkan bas pelancongan antara 2020 hingga 2024 dan pada 2023 sahaja, 27 kematian serta lebih 230 kecederaan dilaporkan.
Antara punca utama adalah kegagalan mekanikal, keletihan pemandu dan penyelenggaraan yang tidak mencukupi, menekankan keperluan kawal selia lebih ketat dalam industri ini.
Mohd Khalid berkata MATA komited untuk terus bekerjasama dengan MOTAC, pengendali pelancongan dan syarikat pengangkutan dalam menjalankan latihan kesedaran keselamatan kepada pengusaha pengangkutan pelancongan serta menggalakkan penggunaan sistem telematik dan teknologi keselamatan digital dalam bas pelancongan.
Selain itu, beliau berkata MATA juga akan mempromosi penjadualan perjalanan yang lebih bertanggungjawab bagi mengurangkan keletihan pemandu dan sentiasa memberi maklum balas kepada MOTAC mengenai pelaksanaan serta cabaran yang dihadapi di peringkat lapangan.
"Sektor pelancongan merupakan antara penyumbang ekonomi utama negara dan keselamatan pengangkutan adalah tunjang kepada pengalaman pelancong.
"MATA yakin bahawa peraturan baharu ini akan meningkatkan reputasi Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang selamat dan profesional di peringkat antarabangsa," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami