Malaysian Airline System Bhd (MAS) berharap usaha mencari pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370, yang hilang tiga tahun lepas, akan disambung semula sekiranya pasukan penyiasat mendapati wujud petunjuk yang boleh dipercayai.

Satu kenyataan yang dikeluarkan bagi pihak MAS oleh Malaysia Airlines Bhd (MAB) pada Rabu berkata syarikat penerbangan itu telah bekerjasama rapat dengan Pasukan Penyiasatan Keselamatan Malaysia dan memberi kerjasama penuh kepada pasukan itu.

"Seperti biasa, kami berpandukan kepada sebarang keputusan yang dibuat oleh ketiga-tiga kerajaan yang terlibat dalam penyiasatan dan usaha mencari pesawat berkenaan," kata MAS.

Penerbangan MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar ketika terbang dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Laluan penerbangannya dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi.

Pada 22 Julai tahun lepas, mesyuarat peringkat menteri tiga negara melibatkan Malaysia, Australia dan China bersetuju menggantung usaha mencari Penerbangan MH370 setelah pencarian peringkat awal meliputi kawasan seluas 120,000 km persegi gagal mengesan pesawat itu.

Semalam, MAS dan MAB mengadakan satu majlis tertutup di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) bagi memperingati MH370, yang dihadiri petugas syarikat penerbangan itu dan anggota keluarga 13 anak kapal pesawat malang berkenaan.

Majlis itu memperingati 13 anak kapal berkenaan berserta bacaan doa dan tafakur selama seminit, di samping tayangan video sebagai penghormatan kepada mereka yang masih hilang.

Dalam kenyataan itu, MAS mengulangi komitmennya untuk memaklumkan kepada waris terbabit tentang perkembangan terkini berkaitan MH370.

"Doa dan harapan kami mengiringi mereka yang terjejas oleh tragedi ini," katanya. -- BERNAMA