Musim kemarau hampir berakhir dan hujan mula membasahi bumi. Menurut salah seorang penduduk di Kampung Mat Daling di Ulu Tembeling, hujan lebat khususnya pada sebelah petang, diterima dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.

Namun keadaan itu tidak memberi kesan kepada paras Sungai Tembeling yang masih kering sehingga menampakkan dasarnya yang berpasir.

Pada awal bulan April, Astro AWANI menyiarkan lima siri laporan khas bertajuk Kerakusan Manusia Musnahkan Sungai Tembeling yang antara lain menyingkap keadaan Sungai Tembeling yang cetek sehingga menjejaskan kehidupan seharian penduduk setempat.

Selain itu, ia turut meninjau sejauh mana kesan pembalakan dan penerokaan di kawasan tadahan air Ulu Tembeling.

Selepas tempoh sebulan, Astro AWANI meninjau semula kawasan berkenaan dalam 'Misi Selamatkan Hutan Tadahan Air Negara di Ulu Tembeling' selama tiga hari sejak Jumaat lalu.

Ekspedisi melibatkan 150 peserta daripada beberapa NGO dan aktivis alam sekitar, pengamal media serta ahli-ahli akademik bagi meninjau kawasan tadahan air Ulu Tembeling.

Pandangan dron menunjukkan keadaan hutan yang antara lain diteroka untuk 'tujuan perladangan'.

Laluan konvoi 'disekat'

Perjalanan ekspedisi yang melibatkan kira-kira 50 buah kenderaan pacuan empat roda nyata bukan mudah di mana kami terpaksa menempuhi keadaan muka bumi mencabar dan juga halangan daripada pihak tertentu.

Terdapat percubaan yang seolah-olah mahu 'menyekat' perjalanan kami apabila laluan utama kampung untuk ke kawasan berhampiran Sungai Lempah dipagar dan dikawal oleh beberapa individu daripada sebuah syarikat sekuriti swasta yang mendakwa menerima arahan supaya tidak membenarkan sesiapa memasuki kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, semasa tinjauan Astro AWANI ke kawasan berkenaan, pada hujung bulan Mac, laluan yang sama tidak dipagar.

Selepas beberapa percubaan termasuk memujuk agar dibenarkan untuk mengguna laluan berkenaan gagal, kumpulan ekspedisi cuba menggunakan laluan lain.

Setelah menghampiri kawasan tapak ladang sawit Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) di kaki Gunung Dulang, laluan untuk memasuki kawasan itu disekat sekali lagi, kali ini, oleh dua buah kenderaan pacuan empat roda daripada syarikat sekuriti yang sama.

Setelah didesak berkali-kali oleh ahli kumpulan ekspedisi yang nyata lebih ramai, akhirnya kenderaan mereka berundur, membolehkan misi diteruskan untuk meninjau kawasan berkenaan.

Hasil pemerhatian kami, di kaki Gunung Dulang, dianggarkan kira-kira 2,000 hektar tanah diteroka untuk memberi ruang untuk perladangan kelapa sawit.

Berhampiran kawasan berkenaan, kelihatan sebidang tanah dijadikan tapak semaian anak benih sawit.


Kesan penanaman sawit di kaki gunung

Pakar Air dan Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Maketab Mohamed, yang turut serta dalam misi berkenaan melihat keadaan kaki Gunung Dulang yang digondolkan untuk projek penanaman kelapa sawit itu berpotensi memberi kesan kepada kawasan tadahan air.

"Apa yang kami lihat adalah seluruh kawasan telah digondolkan atau apa yang dipanggil sebagai 'cuci mangkuk'.

"Bukan hanya gajah dan harimau lari, malah bakteria dalam tanah pun bertukar kerana dalam modus operandi penanaman kelapa sawit, tanahnya kena cuci setiap kali. Kalau tidak buat begitu, buahnya akan menjadi kecil.

"Selain itu, pokok sawit akan menelan air dua kali ganda berbanding pokok hutan biasa sebab metabolisme pokok sawit memang macam itu. Jadi apa sahaja air sama ada hujan dan sebagainya, akan diserap oleh pokok sawit itu," katanya.

Menurut Dr Maketab, apabila berlaku kawasan digondolkan untuk tujuan perladangan, tanah yang terhakis akan memasuki alur sungai apabila hujan sekali gus memendapkan sungai.

Apabila berlaku musim panas seperti yang melanda negara baru-baru ini, ia menyebabkan air lebih mudah tersejat dan sungai lebih cepat mengering.

Fenomena El-Nino atau kerakusan manusia?

Hasil pemerhatian kami mendapati paras air Sungai Tembeling masih sama berbanding bulan lalu ketika berlakunya musim kemarau.

Pandangan dari udara menunjukkan keadaan sungai yang semakin kelihatan dasar pasirnya.

Untuk mendapatkan sudut pandang yang lebih menyeluruh, kami menggunakan teknologi dron untuk meninjau keadaan sungai berkenaan dan nyata apa yang kami lihat cukup mengejutkan.

Hampir sepanjang alur di sekitar hulu Sungai Tembeling, keadaan paras sungai amat cetek sehingga menampakkan dasar sungai berpasir di beberapa kawasan.

Dr Maketab melihat masa kian suntuk bagi menyelamatkan sungai berkenaan yang hampir kontang akibat penerokaan kawasan tadahan air semulajadi yang tidak terkawal.

"Ramai orang dengan mudah sahaja menyalahkan fenomena El-Nino dan pemanasan global sebagai punca utama. Perkara itu adalah berskala dunia, memang boleh jadi dan ada impaknya kepada sungai dan alam sekitar.

"Tetapi masalahnya, berapa peratus impaknya? Isunya lebih daripada itu, ia adalah kerana isu tempatan. Keadaan pengurusan tadahan air tempatan yang tidak terkawal," katanya.

Persoalannya, adakah masa sudah terlambat untuk selamatkan Sungai Tembeling dan kawasan tadahan air sekitarnya?

"Kita sekarang macam di 'borderline'. Kalau kita tidak berbuat apa-apa, mungkin suatu hari nanti kesannya tidak boleh diubah. Sekarang kita masih ada kawasan berhutan yang masih banyak, kita patut tukar dahulu metodologi pengurusan hutan.

"Ini bermakna, sekiranya pelannya adalah mengorek pasir, tiada masalah, tetapi pastikan tanam balik pokok hutan di kawasan yang digondolkan dan kurangkan aktiviti penanaman sehingga ke sumber air," kata Dr Maketab.

Sinar harapan untuk Sungai Tembeling

Hasil misi Selamatkan Hutan Tadahan Air Negara, satu deklarasi yang menggariskan tujuh perkara utama, 'Deklarasi Ulu Tembeling' dikeluarkan.

Ia antara lain mengisytiharkan kejadian air Sungai Tembeling dan Sungai Pahang yang cetek sebagai 'Bencana Air Negara' sekali gus mendesak kerajaan negeri menghentikan serta-merta semua kegiatan pembalakan yang membabitkan kawasan hutan tadahan Ulu Sungai Tembeling.

Deklarasi berkenaan turut mendesak kerajaan negeri supaya menghentikan semua kegiatan pembalakan dan rancangan pembangunan ladang kelapa sawit secara besar-besaran di Lembah Sungai Kembir yang dilakukan oleh PKNP.

BACA: Deklarasi Ulu Tembeling, usaha selamatkan kawasan tadahan air

Menurut Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil, hasil pemerhatian yang dilakukan sepanjang misi berkenaan, mereka dapat membuat kesimpulan bahawa keadaan Sungai Tembeling dan Sungai Pahang yang cetek bukan hanya kerana fenomena El Nino atau kemarau panjang.

"Sebaliknya ia juga berpunca daripada kegiatan pembalakan dan pembukaan hutan tidak terkawal di kawasan hutan tadahan air semulajadi yang terdapat di kawasan Ulu Tembeling sehingga menjejaskan sungai-sungai di kawasan itu," katanya selepas misi berkenaan.

Musim kemarau kini hampir berakhir dan musim tengkujuh pula bakal menjelma tidak lama lagi.

Persoalannya, dengan keadaan Sungai Tembeling dan Sungai Pahang yang makin cetek, dapatkah ia menampung taburan hujan yang banyak?