KUALA LUMPUR: Rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan disifatkan sebagai sesuai untuk dilaksanakan ketika ini kerana Perdana Menteri perlu menilai semula menteri-menteri dan timbalan menteri yang tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam menerajui portfolio masing-masing.
Penganalisis politik, Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan barisan Kabinet yang terbentuk sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu dikategorikan sebagai 'Kabinet Perang' dan mereka yang dilantik sepatutnya berkhidmat dengan luar biasa bagi memenuhi kehendak rakyat yang berdepan situasi sukar akibat ketidaktentuan ekonomi.
Begitupun, beliau berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melakukan secara berhemah bagi memastikan keputusan yang diambil tidak menyentuh perasaan parti-parti komponen yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
"Kita bimbang kerana jika terlalu drastik tindakan ataupun rombakan ini diambil terhadap Ahli Parlimen ataupun menteri-menteri yang mewakili sesebuah parti, kemungkinan besar ada gerakan atau agenda yang tidak bersetuju menyebabkan mereka akan menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan.
"Bagi saya, pelbagai kemungkinan ini merupakan satu perkara biasa iaitu menyokong ataupun menolak sokongan, itu merupakan perkara normal dalam politik negara.
"Tetapi bagaimana dengan begitu cermat meneliti melakukan rombakan (Kabinet) supaya bukan sahaja parti-parti komponen selesa dengan rombakan tersebut tetapi rakyat begitu gembira kerana boleh dan bakal mendapat menteri ataupun timbalan menteri yang merasai denyut dan kesusahan serta kesukaran kehidupan mereka," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini pada Rabu.
Sebelum ini media melaporkan Anwar bersedia membuat rombakan dalam masa terdekat, antaranya melibatkan Kabinet, Ketua Setiausaha (KSU), anggota birokrasi, kakitangan awam, dan pejabatnya sendiri.
Jangan lantik individu kitar semula
Mengulas lanjut, pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya (UM) itu berkata Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) perlu mempertimbangkan semula individu yang tewas dalam pilihan raya tetapi menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Selain itu, katanya individu yang memegang jawatan tinggi dalam sesebuah parti namun tidak menunjukkan pencapaian yang baik untuk meneruskan tugas mereka dalam barisan Kabinet, juga perlu diambil kira oleh Perdana Menteri.
Justeru, Mohammad Tawfik menambah calon baharu wajar ditampilkan bagi mengisi barisan Kabinet akan datang dan perlulah seorang yang berwibawa, mempunyai prestasi yang baik serta mendapat mandat daripada rakyat ketika pilihan raya.
"Calon-calon kitar semula, bagi saya tak perlu lagi dilantik semula kerana kita ada Ahli Parlimen yang muda, bertenaga, dan ada kepakaran dalam kalangan PH, GPS (Gabungan Parti Sarawak), malah dalam UMNO pun ada bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan.
"Kamu perlu mendapat restu daripada kepiminan parti, dan bagi saya apa salahnya kita munculkan bakat-bakat ini daripada kita terus melantik ataupun 'recycle' semula Ahli Parlimen ataupun mereka yang dilantik sebagai senator untuk menjadi menteri atau timbalan menteri di peringkat Persekutuan," ujarnya lagi.
Kementerian yang perlu dirombak?
Ditanya kementerian mana yang perlu melalui rombakan, Mohammad Tawfik berkata Kementerian Kewangan, yang ketika ini dikemudi oleh Anwar perlu diisi oleh individu lain bagi memastikan portfolio tersebut dijaga secara khusus, sekali gus mengelakkan persepsi negatif.
Kata beliau, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang pernah memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan, antara individu yang sesuai untuk mengisi portfolio kementerian berkenaan.
"Dua lagi kementerian yang saya tengok sangat kritikal ialah pertama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara (KPDN). Sehingga sekarang belum diisi lagi jawatan menteri berkenaan dan bagi saya ia terlalu lambat kerana rakyat berada dalam satu keadaan yang sukar.
"Mereka memerlukan seorang menteri yang ada kuasa walaupun Perdana Menteri melantik pemangku tetapi kuasa itu tidak sepenuhnya ada pada pemangku menteri. Maka, ia perlu disegerakan (mengisi kekosongan) kementerian itu dan diberikan kuasa yang lebih kepada menteri untuk membasmi kartel-kartel atau isu-isu berkaitan permasalahan harga barangan," tambahnya.
Satu lagi kementerian, menurut beliau perlu dipertimbangkan untuk rombakan ialah Kementerian Sumber Manusia memandangkan menteri ketika ini, V Sivakumar disifatkan sebagai 'tidak lagi berpotensi' untuk menjalankan tugas susulan terpalit dengan kontroversi skandal rasuah melibatkan bekas pegawainya.
"Bagi saya ada cadangan lain dalam DAP, misalnya Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau yang sudah lama berkhidmat di peringkat negeri dan boleh diangkat sebagai menteri bagi menggantikan Sivakumar.
"... Dan ada juga ada Menteri Besar yang menyandang jawatan sebagai Ahli Parlimen. Apa salahnya? Walaupun sudah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, mereka boleh diangkat sebagai menteri di peringkat Persekutuan kerana kredibiliti dan bakat yang ada di peringkat Negeri. Bagi saya rugi kalau hanya sekadar letak di peringkat Negeri, sebaliknya wajar diangkat di peringkat Persekutuan," katanya.
Prestasi Kerajaan Perpaduan
Sementara itu, Mohammad Tawfik berkata prestasi Kerajaan Perpaduan dalam tempoh sembilan bulan lalu masih berdepan dengan pelbagai kelemahan yang perlu dibaiki, selain banyak kerja perlu dilakukan untuk bergerak ke hadapan.
Pada masa yang sama, katanya 'sikap pembangkang' yang masih ada dalam kalangan segelintir Ahli Parlimen PH yang kini sudah berada di blok kerajaan, perlu dibuang segera.
"Bagi saya memang sukar bagi mereka yang telah lama berperanan sebagai pembangkang untuk menjadi kerajaan tetapi ini bukannya masa ataupun tempoh untuk berbulan madu. Ini tempoh untuk bekerja dan tempoh pembangkang mereka telah tamat dan perlu lahirkan diri (sikap) mereka sebagai sebuah Kerajaan.
"Inilah masa untuk melakukan rombakan Kerajaan dengan kadar segera dan Kabinet itu perlu disegarkan dengan muka-muka baharu.
"Jangan takut dengan ugutan ataupun permintaan daripada parti-parti politik yang tidak masuk akal. Tetapi Perdana Menteri perlu pastikan bahawa beliau memikirkan tentang kehidupan rakyat berbanding dengan kehidupan politik melibatkan beberapa ahli politik dalam parti komponen PH Dan Kerajaan Perpaduan," katanya.
Hasimi Muhamad
Wed Sep 27 2023
Mohammad Tawfik (gambar kecil) menambah calon baharu wajar ditampilkan bagi mengisi barisan Kabinet akan datang. - Gambar fail/Bernama, Astro AWANI
Lelaki pukul kereta guna topi keledar direman
Seorang lelaki ditahan selepas tindakannya memukul sebuah kereta menggunakan topi keledar telah dirakam dalam satu klip video pada Sabtu.
Bantuan Subsidi Madani bantu pengguna?
Program Bantuan Subsidi Madani mengundang pelbagai reaksi orang ramai. Ada yang kata membantu dan ada yang kata menyusahkan.
Arab Saudi undang 1,000 lagi warga Palestin tunai haji
Ia dianjur di bawah titah Raja Salman Abdulaziz Al Saud sebagai sebahagian daripada Program Tetamu Penjaga Dua Masjid Suci untuk Haji, Umrah dan Ziarah.
'Perkara hebat sedang berlaku di Selatan' – Tun M
Pembinaan Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Johor Bahru dan Singapura yang sedang rancak berjalan menarik perhatian bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bicara kes rasuah, pengubahan wang haram Adam Radlan ditangguh lagi ke 9 Julai
Selain 9 Julai, mahkamah turut mengekalkan tarikh perbicaraan pada 10 dan 11 Julai, 22 hingga 24 Julai dan 5 hingga 7 Ogos 2024.
Tiga guru, pembantu tadika didakwa aniaya anak jagaan
Tiga guru dan seorang pembantu tadika mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan mengabaikan dan menganiaya dua kanak-kanak di bawah jagaan mereka, sejak Mac lalu.
12 Jun keputusan permohonan Dr Mahathir untuk semakan kehakiman
Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 12 Jun untuk keputusan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk
Sindiket laman web lucah China jadikan Malaysia pusat operasi tumpas
Sindiket laman sesawang lucah yang menjadikan negara ini sebagai pusat operasi terbongkar susulan tangkapan empat warga China menerusi serbuan di dua kediaman elit, dekat Jalan Tun Razak.
7 askar terkorban dalam serangan bom kereta di barat laut Pakistan
Tujuh askar Pakistan terbunuh dalam serangan bom kereta di bandar Lakki Marwat, wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa pada Ahad.
Maybank jangka ringgit naik kepada RM4.60 berbanding dolar AS akhir tahun ini
Maybank Research menjangkakan ringgit lebih kukuh akhir tahun ini pada RM4.60 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Masa sesuai rombak Kabinet, jangan lantik individu 'kitar semula' - Penganalisis
Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melakukan secara berhemah bagi memastikan keputusan yang diambil tidak menyentuh perasaan parti-parti komponen yang membentuk Kerajaan Perpaduan.