KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merayu agar ibu bapa lebih prihatin dan mengutamakan tahap keselamatan anak-anak dengan melakukan suntikan vaksinasi kepada mereka.

Jelas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, ia berikutan tahap peratusan pemberian vaksinasi kepada golongan tersebut masih lagi terlalu rendah berbanding sasaran yang dijangkakan sebelum ini.

“Kita melihat kemasukan ke hospital meningkat, kita melihat kemasukan ke ICU pediatrik meningkat, ibu bapa masih lagi tidak buat pilihan untuk memberi perlindungan kepada anak-anak mereka melalui vaksinasi kanak-kanak atapun PICKids.

“Saya rasa masa untuk tunggu dan lihat sudah tamat, kita dah mula PICKids sudah lebih sebulan dan kita melihat bahawa vaksinasi ini adalah selamat, vaksinasi ini memberi perlindungan, perlindungan kepada gejala yang paling serius iaitu kemasukan ke hospital, ICU dan juga kematian,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Tambahnya lagi, setakat ini hanya 30 peratus daripada golongan itu telah mendapatkan suntikan.

Jumlah itu katanya adalah terlalu rendah untuk golongan tersebut iaitu mereka dari kalangan lima hingga 11 tahun.

Ia jelasnya akan meningkatkan risiko kepada kanak-kanak yang kini sudah mula melakukan sesi persekolahan secara bersemuka.

Ia juga turut ditambah dengan bermulanya fasa endemik menjelang April nanti.

BACA: Satu SOP, sembilan garis panduan dalam fasa peralihan ke endemik - Hishammuddin

BACA: KKM akan terus pantau ancaman varian baharu ketika fasa peralihan endemik - Khairy


PICKids: Pesanan Khairy kepada ibu bapa yang tunggu dan lihat

Justeru pihak KKM katanya akan terus mempertingkatkan usaha dalam memastikan agar kadar vaksinasi dalam kalangan golongan itu mampu diperluaskan dari semasa ke semasa.

Khairy juga merayu agar ibu-bapa lebih sedar dengan tahap ancaman risiko jangkitan semasa terhadap kanak-kanak di negara ini.

“Jadi mesej yang mudah untuk kanak-kanak ini adalah bawa anak anda untuk PICKids. Kita juga dapati bahawa selain daripada jangkitan, kes-kes Multi System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) boleh juga berlaku.

“Daripada Jun 2020 hingga akhir tahun lepas, seramai 174 orang kanak-kanak bawah 18 tahun mengalami MIS-C akibat jangkitan COVID-19,” jelasnya lagi.