Presiden Palestin seru perjanjian gencatan senjata di Gaza dipatuhi

Abbas turut menegaskan kesediaan institusi negara Palestin untuk mengambil alih tanggungjawab pentadbiran di Gaza. - Gambar/ AP
RAMALLAH/ISTANBUL: Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada Ahad menyeru supaya gencatan senjata di Gaza terus diperkukuh dan fasa pertama pelan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bagi menamatkan perang di wilayah itu dipatuhi, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Abbas menyatakan perkara itu semasa pertemuannya di Ramallah dengan Timbalan Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan Tom Fletcher.
Beliau "memperbaharui gesaannya kepada semua pihak berkaitan supaya kekal komited terhadap fasa pertama pelan presiden AS itu, termasuk mengukuhkan gencatan senjata, menyerahkan tawanan dan tahanan, membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan, memastikan pengunduran tentera pendudukan, meneruskan usaha pembinaan semula serta menghentikan tindakan kerajaan Israel yang melemahkan Pihak Berkuasa Palestin dan penyelesaian dua negara."
Abbas turut menegaskan kesediaan institusi negara Palestin untuk mengambil alih tanggungjawab pentadbiran di Gaza dan menghubungkannya dengan Tebing Barat, dengan sokongan Arab dan antarabangsa serta melalui penyelarasan dengan pihak berkaitan.Beliau turut menyatakan kesediaan Palestin "untuk bekerjasama dengan Presiden AS Donald Trump serta semua pengantara dan rakan kongsi bagi melengkapkan fasa seterusnya ke arah mencapai keamanan berkekalan selaras dengan resolusi keamanan antarabangsa."
Abbas menekankan peranan penting PBB dan Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan serta mengekalkan perkhidmatan penting kepada pelarian Palestin di Gaza, Tebing Barat, Baitulmuqaddis dan negara-negara yang menempatkan mereka.
Fletcher memaklumkan kepada Abbas tentang hasil lawatannya ke Gaza, situasi kemanusiaan di sana serta usaha PBB untuk memudahkan penyampaian bantuan.
Juga di Ramallah, Fletcher turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Palestin Mohammad Mustafa. Mereka membincangkan tentang usaha memperkukuh penyelarasan dan pelaksanaan langkah bagi pelan pemulihan serta pembinaan semula Gaza.
Mustafa menegaskan bahawa kerja-kerja pembinaan semula perlu diterajui oleh Pihak Berkuasa Palestin dengan sokongan rakan kongsi Arab dan antarabangsa, sambil menekankan keperluan memperkasakan institusi Palestin untuk beroperasi di Gaza dengan sokongan PBB.
Beliau menambah bahawa jawatankuasa pentadbiran Gaza perlu berfungsi di bawah pengurusan Negara Palestin serta memastikan tiada kekosongan pentadbiran atau keselamatan berlaku di wilayah itu.
Fletcher pula menegaskan bahawa agensi-agensi PBB perlu bekerjasama sepenuhnya dengan institusi Palestin, sambil menyatakan bahawa tindakan mengetepikan mereka tidak akan menyumbang kepada pencapaian matlamat bantuan dan pembinaan semula.
Pada 29 Sept, Trump secara terbuka mengumumkan pelan keamanan 20 perkara bagi Gaza, termasuk gencatan senjata segera dan pembebasan tawanan serta tahanan secara berperingkat.
Israel dan kumpulan Palestin Hamas kedua-duanya bersetuju dengan fasa pertama perjanjian itu, dengan majlis menandatangani secara rasmi diadakan pada 9 Okt. Perjanjian itu dimeterai dengan bantuan pengantara dari AS, Qatar, Mesir dan Tirkiye.
Pada 10 Okt, gencatan senjata mula berkuat kuasa.
Pelan itu turut merangkumi pembinaan semula Gaza dan pembentukan mekanisme pentadbiran baharu tanpa Hamas.
Sejak Oktober 2023, serangan genosid Israel telah membunuh hampir 68,200 orang dan mencederakan lebih 170,200 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami