JERTIH: Masalah gangguan bekalan air yang bermula pada awal bulan ini dan dijangka berterusan selama 21 hari di sebelas buah kampung dalam Mukim Kampung Raja dan Keluang di sini, bukan sahaja menjejaskan pengguna domestik, malah memberi kesan kepada sektor perniagaan setempat.

Antara yang terkesan dengan masalah itu ialah perniagaan kedai dobi dan pengusaha resort di dalam kawasan tersebut.

Penolong Pengurus Operasi Damai Beach Resort Hafizuddin Amlin berkata resort di bawah seliaannya, berhadapan masalah untuk mendapatkan bekalan air bersih bagi keperluan pelanggan yang menginap atau menyewa di situ.

"Pihak Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), memang ada menyediakan perkhidmatan bekalan air kepada sektor komersil seperti resort dengan bayaran tertentu.

"Bagaimanapun, kami merasakan tidak efektif untuk kami menggunakan perkhidmatan itu, kerana penggunaan air yang tinggi setiap hari yang pastinya akan meningkatkan kos operasi resort kami," katanya kepada Bernama ketika ditemui di resort berkenaan dekat pantai Bukit Keluang, di sini hari ini.

Hafizuddin berkata mereka terpaksa mengangkut lebih 2,000 liter air setiap tiga hari sekali di Jertih, sejauh lebih 40 kilometer untuk perjalanan pergi dan balik, daripada resort berkenaan.

"Bekalan air yang diangkut menggunakan lori ini hanya untuk kegunaan majlis khas seperti majlis kenduri di dewan makan resort manakala, bekalan air di bilik penginapan terpaksa menggunakan air daripada telaga tiub.

"Kami ada menerima teguran daripada pelanggan kerana kualiti air (telaga tiub) kurang memuaskan kerana warnanya seperti berkarat sedikit namun, kami terpaksa," katanya yang amat berharap agar masalah bekalan air ini dapat diselesaikan lebih cepat atau awal daripada jangkaan yang diberikan.

Sementara itu, pengusaha kedai dobi di Kampung Pangkalan Nyireh Che Zaini Hassan, 51, berkata kedai dobi miliknya itu terpaksa ditutup selama tiga hari bermula Selasa hingga Khamis lepas, ekoran masalah sama.

"Saya terpaksa upah orang pasang telaga tiub di belakang kedai, untuk memastikan perniagaan saya dapat beroperasi.

"Kedai saya hanya mula beroperasi semalam menggunakan air telaga tiub tersebut," katanya yang turut mencadangkan langkah tertentu diambil agar masalah bekalan air tidak berterusan untuk jangka masa panjang, seperti melakukan pintasan paip utama saliran air.

-- BERNAMA