SEPANG: Masalah kekurangan bekalan gula paket 1 kilogram (kg) di Kelantan dan Terengganu sudah diatasi, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Salahuddin menjelaskan, kekurangan bekalan gula 1kg di dua negeri tersebut adalah disebabkan penutupan sementara kilang MSM di dua lokasi sempena Aidilfitri.

"Berlakunya kekurangan di dua negeri ini akibat penutupan sementara kilang MSM di Johor dan Prai sempena Aidilfitri, dan kedua-dua kilang ini telah beroperasi semula pada 25 April tahun ini.

"Setakat pemantauan yang kita lakukan beberapa hari ini, pihak penguat kuasa telah dapat mengatasi kekurangan ini di Kelantan dan Terengganu," kata Salahuddin kepada media pada Selasa.

Salahuddin juga memberi jaminan bahawa KPDN setakat hari ini tidak akan menaikkan harga gula dan rakyat boleh membeli bekalan gula pada harga yang ditetapkan.

"Saya harap rakyat tidak panik dan tidak terpedaya dengan isu yang dimainkan, kononnya harga gula akan naik.

"Saya ingin tegaskan bahawa setakat hari ini tidak ada apa-apa keputusan untuk kita menaikkan harga gula seperti yang dimainkan itu.

"Ini adalah jaminan dari KPDN dan rakyat masih dapat membeli bekalan gula pada harga yang ditetapkan hari ini," katanya lagi.

Sebelum ini terdapat laporan yang mendakwa peniaga-peniaga di Kelantan dan Terengganu mengalami masalah mendapatkan bekalan gula di pasaran.

Keadaan tersebut memaksa peniaga kedai makan di Kelantan menggantikan bahan mentah itu dengan menggunakan susu pekat bagi meneruskan perniagaan berasaskan minuman.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin berkata harga runcit maksimum minyak masak sawit tulen kemasan botol kekal bagi tempoh 8 Mei hingga 7 Jun ini.

Harga minyak masak botol bagi 1kg kekal pada harga RM6.90, 2kg (RM13.30), 3kg (RM19.60) dan 5kg pada harga RM30.90, yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum Bagi Minyak Masak) (No.7) 2023.

"Secara umumnya terdapat kenaikan harga sawit mentah untuk bulan April berbanding bulan sebelumnya yang telah melepasi RM4,000 per tan metrik.

"Kenaikan ini menyebabkan berlakunya kenaikan harga runcit minyak masak tulen.

"Bagaimanapun, bagi mengelak bebanan kepada rakyat dan pengguna, kerajaan bersetuju untuk mengekalkan harga minyak masak tulen kemasan botol bagi tempoh berkenaan," katanya.