KUALA LUMPUR: Penumpuan kuasa terhadap seseorang pemimpin di negara ini perlu diagihkan supaya lebih saksama dengan mekanisme semak dan imbang yang lebih baik.

Ini penting, tegas bekas eksekutif perbankan Datuk Seri Nazir Razak, kerana pegangan kuasa yang berlebihan oleh seseorang pemimpin akan mengundang penyalahgunaannya.

Melihat konteks keseluruhan dalam mengurangkan penumpuan kuasa, beliau melihat sistem itu yang diguna pakai di Malaysia meletakkan seseorang, iaitu Perdana Menteri, mempunyai kuasa yang besar.

“Saya rasa ia menggamit perhatian dan jelas sekali, namun tidak ramai yang melihat ini sebagai satu masalah.

“Saya mahu meyakinkan orang ramai bahawa masalah Malaysia bukannya tentang pusat tidak memiliki cukup kuasa, tetapi ia tentang pusat memegang terlalu banyak kuasa.”

Menghuraikan pendapatnya itu dalam buku sulungnya berjudul "What’s In A Name" yang mula terjual pada 8 November 2021, beliau mengambil contoh bapanya sendiri, Tun Abdul Razak Hussein yang baginya seorang demokrat sejati.

BACA: Ada Apa Di Sebalik Nama Nazir Razak

“Beliau ada kuasa diktator sebagai Pengarah Operasi Majlis Gerakan Negara (Mageran), namun beliau menyerahkan semula kuasa itu kepada Parlimen, ketika banyak negara di rantau ini pada waktu itu ditadbir oleh sosok-sosok yang kuat.

“Saya memetik kata beliau, 'jika anda mahu melakukan perkara yang baik, terlalu banyak kuasa itu tidak baik.'”

Nilai dan prinsip itu jugalah, jelas Nazir, yang menjadi antara sebab dan penggerak kepadanya untuk melepaskan kerusi teraju utama Kumpulan CIMB selepas hampir 30 tahun mengepalai institusi perbankan itu

“Saya merasakan berada di posisi itu begitu lama sehingga saya menjadi terlalu berkuasa, dan saya merasakan tiada semak dan imbang terhadap saya, sebab itu saya meletakkan jawatan pada 2014.”

Tonton temu bual eksklusif Nazir bersama Ibrahim Sani, di sini:


Masalah Malaysia adalah pentadbiran pusat terlebih kuasa - Nazir Razak