KUANTAN: Kebakaran sebuah blok di Sekolah Kebangsaan (SK) Senderut di Pos Senderut, Kuala Lipis pada Khamis dilaporkan berpunca daripada masalah sistem pendawaian lama.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Datuk Ir Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, bangunan sekolah yang diperbuat daripada kayu antara punca api marak dengan cepat ketika kejadian.

"Dari pendawaian yang mungkin (bangunan sekolah) sudah agak lama dan tidak dilakukan pemeriksaan secara berkala.

“Jadi, kita menyarankan agar pemeriksaan (pendawaian) dilakukan secara berkala selama 10 tahun sekali.

"Jika sistem pendawaian tidak berada dalam keadaan baik, ia perlu dilakukan pendawaian semula dan sebagainya,” katanya ketika sidang akhbar selepas majlis perbarisan tahunan JBPM di Ibu Pejabat JBPM di Indera Mahkota di sini pada Selasa.

Wan Mohammad (tiga dari kiri) menerima empat buah bot gentian fiber lengkap dengan aksesori yang bernilai RM 44,800 sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Ibu Pejabat JBPM Pahang di Indera Mahkota pada Rabu.

Dalam program tersebut, pihak JBPM Pahang telah menerima empat buah bot gentian fiber lengkap dengan aksesori yang bernilai RM 44,800 sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Mengulas lanjut, Wan Mohammad berkata, pihak bomba sedia menerima permohonan untuk menjalankan semakan dan pemeriksaan di premis masing-masing di bawah program Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK).

"Kita tidak dapat melakukan pemeriksaan di semua sekolah secara keseluruhan, namun jika ada permohonan, kita tiada masalah.

"Kita juga akan bagi keutamaan (pemeriksaan pendawaian) kepada sekolah yang mempunyai penginapan atau asrama bagi mengekalkan sebarang perkara tidak diingini," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya turut bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) untuk menjalankan pemeriksaan bersekali bagi sistem pendawaian pusat tahfiz di Pahang.

"Kita akan berbincang dengan MUIP dan Jabatan Agama Islam untuk membuat pemeriksaan bersekali yang bermula tahun ini bagi tujuan pengeluaran lesen pengiktirafan.

"(Pemeriksaan ini membabitkan) pusat tahfiz yang akan berdaftar dengan MUIP atau JAIP dan mereka memerlukan surat sokongan daripada bomba.

"Jadi kita akan buat pemeriksaan bersekali bermula tahun ini," ujarnya yang turut memberitahu bahawa lebih 40 daripada 173 buah sekolah tahfiz yang telah diperiksa tahun lalu. - Sinar Harian