KUALA LUMPUR:Kementerian Kewangan (MOF) masih mempunyai masa untuk melakukan pindaan terhadap Belanjawan 2021, supaya ia mampu mendapat sokongan mencukupi untuk diluluskan di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Kangar dari Pakatan Harapan, Noor Amin Ahmad berkata, dinamika politik yang berubah memberi kemungkinan ada ahli-ahli Parlimen, termasuk dari blok kerajaan, yang akan mempraktikkan 'conscience vote' atau mengundi secara bebas.

"Perkara yang sama pernah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Mulia Tengku Razaleigh Hamzah Ahli Parlimen Gua Musang. Jadi conscience vote ini memang satu amalan di banyak negara demokrasi yang telah maju.

“Maksudnya ahli Parlimen ada kebebasan untuk mengundi berdasarkan keyakinan mereka terhadap apa yang dikemukakan kerajaan dalam sesuatu bil seperti bil pembekalan tentang Belanjawan 2021.

"Jadi itu antara kemungkinan berlaku. Tapi sebelum itu mungkin berlaku sebenarnya Kementerian Kewangan masih ada ruang untuk mengemukakan sebarang pindaan tertentu yang boleh dikemukakan kepada ahli-ahli Parlimen sebelum penggulungan akhir pengundian dipanggil," katanya kepada Astro AWANI, hari ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz dijangka akan menggulung Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 yang memperuntukkan RM322.5 bilion pada 26 November ini, sebelum ia boleh diluluskan di peringkat dasar.

Bagaimanapun sesetengah pihak menjangkakan ia mungkin tidak mendapat sokongan secukupnya sekiranya pindaan tidak dilakukan terhadap permintaan beberapa pihak, termasuk Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan blok bebas.

Mengulas lanjut Noor Amin berkata, mengikut konvensyen, jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan, maka Perdana Menteri perlu sama ada meletak jawatan, memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong hasrat untuk membubarkan Dewan Rakyat, atau membiarkan Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri baharu berdasarkan sokongan majoriti ahli Parlimen.

"Kalau ini berlaku, Perdana Menteri baharu ini perlu segera menubuhkan Kabinet dan mengemukakan belanjawan yang baharu untuk diluluskan oleh Parlimen. Kerajaan baharu ini pun tidak semestinya ada majoriti, sebab dalam negara demokrasi pun kita ada minority government.

"Jadi ini terpulang kepada kebijaksanaan Perdana Menteri baharu sekiranya itu berlaku, dan tidak semestinya kerajaan minority ini juga stabil. Sama ada ia mungkin diberi undi tidak percaya kemudian atau berjaya consolidate sokongan untuk penggal ini," katanya lagi.