SHAH ALAM: Kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia kekal utuh dan terjamin meskipun Mahkamah Persekutuan pada Jumaat mengisytiharkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, masih banyak undang-undang berkaitan Mahkamah Syariah yang digubal DUN Kelantan yang terjamin kedudukannya sebagaimana dinyatakan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

“PGSM menghormati keputusan Mahkamah tertinggi negara itu. Sebanyak 20 seksyen yang dicabar ialah sebahagian daripada 68 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan 2019.

“Mahkamah Persekutuan memutuskan hanya 16 seksyen mereka bersetuju dengan hujah pempetisyen yang juga seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid untuk isytiharkan tidak sah. Bagi empat seksyen lain, mahkamah memihak kepada DUN Kelantan mempunyai hak di sisi perlembagaan untuk membuat undang-undang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 pada Jumaat memutuskan bahawa 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel sembilan hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen Nik Elin dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman bagi mencabar 18 peruntukan enakmen tersebut.

Dengan keputusan tersebut, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang berkenaan.

Bagaimanapun, Musa menegaskan, dengan keputusan tersebut, kerajaan perlu segera memperkasa Mahkamah Syariah termasuk melakukan pindaan undang-undang.

Katanya, untuk tujuan itu, kerajaan mesti segera mengadakan perbincangan dengan pemegang taruh berkaitan dan semua pihak yang terlibat dengan Mahkamah Syariah untuk sama-sama berbincang dan menilai langkah ke hadapan bagi pemerkasaan Mahkamah Syariah. - Sinar Harian