Masih terlalu awal untuk buat spekulasi serpihan ditemui milik MH370 - Najib
Tan Su Lin
Julai 30, 2015 11:35 MYT
Julai 30, 2015 11:35 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan masih terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi bahawa bahagian sayap yang dijumpai awal hari ini merupakan sebahagian serpihan pesawat MH370.
Menurutnya, serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion itu akan dibawa ke Toulouse, Perancis untuk siasatan lanjut.
Najib dalam kemaskini di laman Facebook berkata serpihan akan dihantar oleh pihak berkuasa Perancis ke pejabat Agensi Penyiasat Penerbangan Aawam dari Perancis (BEA) di Toulouse.
"Malaysia juga menghantar satu pasukan ke Toulouse untuk membantu siasatan ke atas sayap itu."
"Mereka terdiri daripada wakil pegawai kanan Kementerian Pengangkutan, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan pasukan penyiasat MH370 dan Malaysia Airlines." ujarnya.
Manakala, pasukan berasingan, katanya turut dihantar ke lokasi penemuan serpihan pesawat di Pulau Reunion.
Najib berharap kebenaran mengenai kehilangan pesawat itu akan terjawab juga akhirnya supaya ia menjadi penutup dan membawa ketenangan kepada semua keluarga penumpang serta kru penerbangan.
Beliau turut bertegas dan memberi jaminan kepada semua keluarga terbabit, walau apa juga yang berlaku, Malaysia tidak akan berputus asa.