SHAH ALAM: Landskap demografi Malaysia sedang mengalami transformasi yang ketara, dengan kadar warga emas dijangka meningkat kepada 40 peratus menjelang 2043, boleh menyebabkan implikasi kritikal terhadap prospek fiskal negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Ahmad Zulqarnain Onn berkata dengan unjuran populasi seramai 39.9 juta, penduduk berusia lebih 66 tahun dijangka mencecah 5.6 juta, manakala penduduk umur bekerja (berumur 15 hingga 64 tahun) dianggarkan mencecah 27.3 juta.

"Kajian menunjukkan bagi setiap peningkatan 10 peratus dalam populasi umur, kita akan melihat penurunan 5.5 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar," katanya semasa mengumumkan prestasi dan dividen KWSP di sini semalam.

Ahmad Zulqarnain menekankan bahawa apabila masyarakat semakin berusia, tekanan dan desakan ke atas sistem penjagaan kesihatan akan meningkat dan hasil cukai negara dijangka menurun apabila sebahagian besar penduduk bersara.

"Kos penjagaan kesihatan akan meningkat, begitu juga dengan kos keselamatan sosial, memberi tekanan yang ketara kepada kedudukan fiskal," katanya.

Menurut Ahmad Zulqarnain, penduduk Malaysia lebih cepat menua berbanding negara-negara lain.

Beliau menyatakan dalam hal ini cabaran utama yang dihadapi termasuklah simpanan yang tidak mencukupi yang akan memburukkan lagi pendapatan di hari tua, majoriti orang dewasa dalam tenaga buruh tidak akan dilindungi oleh skim persaraan, dan ketakpadanan antara umur pengeluaran penuh dan umur persaraan minimum kebangsaan dalam tempoh jangka hayat yang lebih panjang.

Sementara itu, Ahmad Zulqarnain berkata 2024 bakal menjadi tahun yang penuh peristiwa bagi KWSP kerana ia memulakan beberapa inisiatif untuk memenuhi keperluan ahli-ahli KWSP yang semakin berkembang, memastikan ketahanan kewangan dan kesejahteraan sepanjang tahun persaraan mereka.

"Trend berterusan ke arah pekerjaan tidak formal yang lebih tinggi berbanding pekerjaan formal akan menjadi penggerak di sebalik pelaksanaan berterusan inisiatif-inisiatif strategik KWSP," tambah beliau.

-- BERNAMA