SHAH ALAM: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan terus memberi tumpuan kepada aset-aset penjanaan tunai di bawah pelan Peruntukan Aset Strategik (SAA) dan tidak akan mempertimbangkan untuk melabur dalam aset-aset digital, kata Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Zulqarnain Onn.

Beliau berkata dana persaraan itu akan terus melabur dalam kelas-kelas aset berkaitan yang konsisten dengan strategi pelaburan berhematnya.

"Jawapan mudah kepada (untuk melabur dalam) aset-aset digital adalah tidak, bagi KWSP, faktor penjanaan tunai adalah sangat penting untuk kami apabila melibatkan pelaburan.

"Begitu juga dengan sebab yang sama iaitu kita tidak melabur dalam komoditi, kerana komoditi adalah aset fizikal tanpa keupayaan untuk penjanaan tunai," katanya semasa sesi soal jawab selepas mengumumkan prestasi dan dividen KWSP bagi tahun kewangan 2023 di sini hari ini.

Dari segi pecahan SAA KWSP bagi tahun kewangan 2023, sebanyak 46 peratus diperuntukkan untuk pendapatan tetap, 42 peratus dalam ekuiti, 7.0 peratus dalam hartanah dan infrastruktur, dan 5.0 peratus dalam pasaran wang.

KWSP kekal sebagai pelabur terbesar dalam pasaran domestik dengan aset di bawah pengurusan (AUM) meningkat kepada RM702.48 bilion pada Disember 2023 daripada RM643.38 bilion pada 2022.

Dana simpanan persaraan itu berkata pelaburan KWSP dalam pasaran domestik adalah melebihi 80 peratus daripada peruntukan pelaburannya bagi 2023, menyediakan modal kepada syarikat Malaysia dan ekonomi secara keseluruhannya.

"Sehingga Disember 2023, KWSP memegang lebih kurang 28 peratus daripada lebihan terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) dan lebih kurang 12 peratus daripada permodalan pasaran Indeks 100 Teratas FTSE Bursa Malaysia.

Penyertaan KWSP di Bursa Malaysia dari segi nilai yang didagangkan ialah 23 peratus untuk saham FBM100 dan 31 peratus untuk saham FBM KLCI.

Mengenai prestasi ringgit, Ahmad Zulqarnain berkata dana persaraan itu selari dengan pendirian Bank Nagara Malaysia terhadap penilaian ringgit. "Kami bersetuju bahawa ringgit di bawah nilai, dan bagi KWSP, ia bermakna membeli lebih banyak aset dalam ringgit," tambahnya.

-- BERNAMA