KUALA LUMPUR: Masyarakat seharusnya tidak perlu merasa takut untuk mengadaptasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kehidupan seharian.

Menurut Timbalan Ketua Kluster Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Ts Dr Rusli Abdullah, kepentingan untuk menghidupkan teknologi dalam kehidupan perlu digalakkan sebagai usaha untuk meningkatkan kemahiran diri individu.

Katanya lagi, teknologi Ai tidak hanya tertumpu kepada penggunaan perisian Chatbot seperti ChatGPT atau Google Bard semata-mata.

Sebaliknya, AI, jelas beliau boleh diterokai penggunaannya lapangan ekonomi seperti sektor pertanian, perniagaan dan pengangkutan.

"Terutama dalam konteks upskilling, maknanya harini kita tahu dalam konteks AI, mungkin kita boleh tahu dalam konteks ChatGPt atau chatbot, mungkin esok kita boleh lihat dalam konteks yang lain.

"Misalnya AI dalam pertanian, dapat membantu kita dalam pertanian (Smart Farming), lihat juga dalam konteks pengangkutan, perniagaan dan sebagainya. Itu yang pertama dari segi peningkatan kemahiran," kata beliau dalam program AWANI Pagi pada Sabtu.

Ditanya berkenaan keperluan untuk mewujudkan satu garis panduan dan perundangan khusus terhadap teknologi ini, beliau menyifatkan perundangan yang komprehensif perlu diadakan untuk mengawal penggunaannya secara bertika.

Malah, katanya lagi, perundangan yang menyerap elemen teknologi AI juga diyakini dapat mengelakkan isu-isu terkait jenayah teknologi ini di masa akan datang.

"Saya boleh katakan ya (perundangan teknologi AI), kita perlukan satu perundangan yang agak komprehensif, dia dapat cover elemen-elemen yang kita nyatakan ataupun kita anggap di luar jangkaan, sebagaimana yang disebutkan tadi tentang ChatGPT boleh bercakap dalam berbagai bahasa, kita melihat dari segi hak cipta, dari segi IPR (Intellectual Property Right)," katanya.