Selepas 30 tahun, filem Dilwale Dulhania Le Jayenge masih ditayang di pawagam Mumbai setiap hari

Filem Dilwale Dulhania Le Jayenge meraikan ulang tahun ke-30 tayangannya yang tidak pernah terhenti di panggung Maratha Mandir, Mumbai - menjadikannya filem paling lama ditayangkan dalam sejarah perfileman India.
MUMBAI: Filem cinta paling ikonik Bollywood, Dilwale Dulhania Le Jayenge (DDLJ), meraikan ulang tahun ke-30 tayangannya yang tidak pernah terhenti di panggung Maratha Mandir, Mumbai - menjadikannya filem paling lama ditayangkan dalam sejarah perfileman India.
Sejak mula dipertontonkan pada 20 Oktober 1995, karya arahan Aditya Chopra itu kekal menjadi tarikan utama dengan tayangan harian tanpa henti selama tiga dekad di pawagam yang terletak berhampiran Stesen Bombay Central.
Filem lakonan Shah Rukh Khan dan Kajol itu bukan sekadar melakar fenomena pecah panggung, malah dianggap karya yang mendefinisikan semula cinta moden Hindi, menampilkan kisah pasangan muda yang menentang tradisi demi cinta sejati.
“Saya dah tonton hampir 30 kali… dan saya akan terus menontonnya,” kata Mohammad Shakir, 60 tahun, sambil membeli tiket berharga 40 rupee (kira-kira RM1.92).Menurut pengurus pawagam, Manoj Desai, tayangan hari biasa menarik golongan pelajar universiti dan pasangan muda, manakala pada hujung minggu, sambutannya masih luar biasa.
“Pada hari Ahad, sekitar 500 penonton hadir — walaupun selepas 30 tahun,” katanya.
Adegan ikonik Kajol berlari kejar Shah Rukh Khan
Momen paling ikonik dalam filem itu - watak Kajol berlari mengejar kereta api sebelum disambut dalam pelukan Shah Rukh Khan masih membuat penonton bersorak setiap kali ia muncul di layar.
“Inilah detik yang buat bulu roma meremang,” kata Desai.
“Apabila ayahnya melepaskan tangan anak gadisnya dan berkata, dia takkan jumpa lelaki sebaik ini — itu saat paling menyentuh hati.”
Cinta sejati tanpa syarat
Walaupun sudah tiga dekad berlalu, mesej cinta yang tulus tanpa kepentingan diri terus menyentuh hati generasi muda hari ini.
“Dalam dunia sekarang, hubungan sering bersifat transaksi. Tapi dalam filem ini, hero sanggup lakukan apa saja demi cintanya - tanpa mengharapkan balasan,” kata Omkar Saraf, 23.
Bagi sesetengah peminat tegar, DDLJ bukan sekadar filem, tetapi sebahagian daripada hidup mereka.
Desai mendedahkan, ada penonton yang menonton filem ini selama 20 tahun berturut-turut, manakala sepasang kekasih yang berkenalan semasa menonton DDLJ pernah menjemputnya ke majlis perkahwinan mereka.
‘Monumen budaya’ India
Tayangan harian filem ini hampir dihentikan pada 2015, namun bantahan peminat memaksa pawagam berundur daripada keputusan itu.
Pengkritik filem, Baradwaj Rangan menyifatkan DDLJ sebagai “monumen budaya” yang terus hidup kerana ia menggambarkan pertentangan nilai antara generasi moden dan tradisional di India.
“Ia mewakili satu fasa penting dalam budaya India — dan sebab itu ia masih disayangi hingga kini,” katanya.
Selepas 30 tahun, Dilwale Dulhania Le Jayenge bukan sekadar filem cinta - ia simbol keabadian emosi, tradisi dan harapan yang terus memikat hati jutaan peminat di seluruh dunia. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami