NATIONAL
Masyarakat perlu bersaing dengan kepesatan teknologi - Menteri Sarawak

Julaihi berkata sebagai langkah awal memastikan penggunaan teknologi AI yang selamat, Kerajaan Pusat telah memperkenalkan AIGE pada tahun lepas. - Foto fail/BERNAMA
KUCHING: Masyarakat disaran supaya sentiasa menyaingi teknologi kecerdasan buatan (AI) yang berkembang pesat bagi mengelakkan mereka daripada risiko ancaman siber, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi.
Beliau berkata rakyat Malaysia juga tidak seharusnya memandang ringan risiko seperti penyebaran maklumat palsu dan manipulasi kandungan yang mampu menggugat keharmonian negara.
"Malah AI kadang-kadang boleh digunakan sebagai usaha yang menyebabkan kes memeras ugut iaitu mungkin gambar kita, mungkin suara kita, tetapi bukan kita yang melakukannya. Jadi, ini antara cabaran yang kita hadapi.
"Bagi mengelakkan sebarang penganiayaan pada masa hadapan, saya percaya bahawa kita mesti mampu menghadapi semua kemajuan ini, yang mempunyai agenda-agenda yang boleh menggugat ataupun menyalahgunakan AI ini... Mereka ini selalunya bergerak pantas dan sentiasa mendahului teknologi," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Program Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Microsoft AI TEACH di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di sini pada Ahad.
Julaihi berkata sebagai langkah awal memastikan penggunaan teknologi AI yang selamat, Kerajaan Pusat telah memperkenalkan Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan Negara (AIGE) pada tahun lepas.
Berlangsung selama dua hari sehingga esok, program hari ini dilaksanakan secara fizikal dan hibrid di beberapa lokasi terpilih termasuk CENTEXS sebagai lokasi utama pelaksanaan, selain enam lokasi Hab Inovasi Digital Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) di seluruh Sarawak melibatkan Serian, Sri Aman, Sibu, Kapit, Mukah dan Lawas.
Program anjuran MCMC itu mendapat kerjasama dan sokongan Microsoft Malaysia serta rakan strategik seperti CENTEXS, SDEC, Pertubuhan Keselamatan Sosial dan Biji-biji Initiative.
Julaihi berkata program berkenaan membuka lembaran baharu dalam agenda pembangunan kepakaran digital di negeri itu, selari dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang digerakkan kerajaan Sarawak.
Ia memberi fokus kepada penguasaan kemahiran asas Al, kefahaman mengenai etika penggunaan teknologi dan penerapan kemahiran praktikal sebagai persiapan menghadapi keperluan pasaran kerja yang semakin mencabar dan berasaskan teknologi.
Dalam pada itu, MCMC dalam kenyataan memaklumkan program yang dilancarkan secara rintis pada Jun 2024 itu berjaya melatih lebih 2,000 individu merangkumi pelbagai latar belakang khususnya golongan rentan.
Inisiatif berkenaan dilaksanakan di lapan negeri di seluruh negara, antaranya Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Johor serta Wilayah Persekutuan Labuan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami