JOHOR BAHRU: Masyarakat perlu menghormati fatwa yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) baru-baru ini berhubung larangan ke atas orang Islam hadir ke upacara ritual perayaan penganut agama bukan Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon berkata fatwa itu dikeluarkan khusus buat orang Islam dan ketetapan itu perlulah dihormati.

"Ini garis panduan khusus buat orang Islam, kita di Johor dan Malaysia tidak bercanggah dengan semangat perpaduan dan bangsa Johor, kita hidup dalam masyarakat majmuk.

"Kita perlu saling menghormati... dan ini yang kita amalkan selama ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Projek Akuagro Rukun Tetangga Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai fatwa tersebut yang dikeluarkan oleh MAINJ semalam yang melarang umat Islam mengikuti perarakan Thaipusam atau mengambil bahagian dalam sambutan Pongal yang mendapat reaksi pelbagai pihak.

Ling berkata, titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenaan perkara itu semalam juga sudah jelas untuk difahami semua bangsa Johor.

Semalam Sultan Ibrahim bertitah fatwa melarang umat Islam mengambil bahagian dalam ritual agama lain di negeri ini tidak bercanggah dengan nilai toleransi, perpaduan dan persefahaman antara agama.

Titah baginda kepelbagaian kaum dan agama dianuti rakyat berbilang kaum seperti di bawah konsep Bangsa Johor akan sentiasa diiktraf dan dihormati di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid sebelum ini memaklumkan Sultan Ibrahim memperkenan fatwa berkenaan berkuat kuasa pada 2 Februari lepas.

Beliau berkata para ulama daripada empat mazhab iaitu Syafie, Hanafi, Maliki, Hambali, telah sepakat bahawa hukum umat Islam menghadiri upacara ritual perayaan keagamaan bukan Islam adalah haram dan dilarang.

-- BERNAMA