KUALA LUMPUR: Tahap kematangan seseorang atau sesuatu golongan dalam masyarakat itu tidak hanya dinilai pada angka usianya semata-mata.

Tegas Setiausaha Agung Parti MUDA, Amira Aisya, tanggapan sedemikian adalah tidak tepat kerana jika dilihat perilaku sebahagian golongan yang lebih senior, tidak dapat dinafikan ramai dalam kalangan mereka yang menampilkan fiil yang tidak sesuai dengan usia mereka.

“Kalau kita lihat di Parlimen, berapa ramai orang muda berbanding orang yang lebih berusia? Orang muda tidak ramai dalam Parlimen.

“Tetapi kita lihat pelbagai kata-kata kesat dan pergaduhan yang tidak matang, itu bukan dibuat oleh orang muda tapi orang yang dah berusia.

“Maka untuk meletakkan kematangan itu sekadar pada usia sahaja, itu adalah benda yang tidak adil,” katanya.

Malah, ujarnya, anak muda yang sepatutnya lebih terlibat dalam politik negara kerana mereka yang menjadi enjin utama penggerak negara dan masa depannya terletak pada bahu golongan itu.

Anak muda hari ini jelas Amira cukup cakna dengan keadaan dunia hari ini dan mereka tahu apa yang diperlukan untuk memekarkan kesejahteraan kehidupan masyarakat hari ini dan generasi akan datang.

“Kita mahukan pembaharuan untuk negara, kita mahu masa depan yang bagus untuk kita sendiri dan juga anak-anak kita kemudian hari.

“Ini membuktikan bahawa kita sebagai pemegang tampuk masa hadapan lebih mempunyai kepentingan terhadap apa yang berlaku dalam negara berbanding mereka yang sudah lebih berusia, sekiranya mereka ada kepentingan itupun sepatutnya untuk anak-anak mereka sendiri.”

Justeru, tekannya, anak muda yang dilihat ‘cepat melenting’ ini akan meletakkan segala kudrat dalam kerja-kerja membangunkan negara kerana itulah penentu nasib generasi itu di masa mendatang.

Tonton sesi penuh “Dialog Tiga Penjuru: Anak Muda Gegar PRN Johor?” dihoskan Luqman Hariz, di sini:

Matang tidak hanya dinilai pada usia - MUDA


Dialog Tiga Penjuru: Anak MUDA gegar PRN Johor?