Mayat seorang bayi perempuan cukup sifat ditemui orang awam di tempat pembuangan sampah di Pasar Wakaf Zin, Tawang di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.45 malam itu, mayat bayi berkenaan yang dibungkus dengan kain kuning ditemui oleh seorang penduduk kampung.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan, Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, lelaki berkenaan memberitahu melihat seorang lelaki dan wanita bertengkar di kawasan pembuangan sampah berkenaan sebelum mengambil tindakan mendekati pasangan itu.

Katanya, saksi memberitahu kedua mereka kemudian bergegas melarikan diri dengan menaiki kereta Perodua Myvi berwarna gelap sebelum saksi menemui bungkusan kuning yang mengandungi mayat bayi perempuan.

"Polis dapati bayi itu cukup sifat dan masih bertali pusat dan telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Klinik Kesihatan Bachok," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mayat bayi berkenaan di bawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk bedah siasat.

Nik Aminuddin berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan (KK) kerana menyembunyikan kelahiran.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menyalurkan ke pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok atau menghubungi Inspektor Nor Afidah Mohd Ariffin di talian 09-7788222.