MALAYSIA
Mayat dua beranak reput: Jiran dedah mangsa tertekan 'hilang' suami

Mayat kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan mereput. - Foto Sinar Harian
GEORGE TOWN: Wanita yang ditemui hampir reput bersama anak perempuannya di sebuah pangsapuri di Jalan Bukit Gambir di sini malam Isnin dipercayai mengalami tekanan emosi sejak suaminya dipenjarakan beberapa bulan lalu.
Ringkasan AI
- Mayat seorang wanita dan anak perempuannya ditemukan dalam keadaan reput di sebuah unit pangsapuri di Jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang, selepas jiran mengadu bau busuk sejak 21 Jun. Polis mengesahkan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil bedah siasat.
- Mangsa dipercayai mengalami tekanan emosi sejak suaminya dipenjarakan, ditambah dengan kesukaran hidup seperti bekalan elektrik yang dipotong dan ketiadaan pekerjaan. Jiran memaklumkan wanita itu jarang bergaul dan kali terakhir dilihat pada Mei lalu.
- Polis menemui ubat-ubatan berkaitan tekanan perasaan di lokasi kejadian, dan kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk siasatan lanjut. Mangsa masing-masing berusia 40 dan dua tahun, dipercayai ibu dan anak.
Beliau yang sudah tinggal di perumahan itu sejak 23 tahun lalu berkata, mangsa hanya menyewa di unit berkenaan sejak beberapa bulan lalu bersama anak perempuannya.
“Saya tinggal di blok bersebelahan dan hanya tahu mengenai kejadian tersebut ketika pulang dari rumah saudara semalam. Saya pun jarang nampak dua beranak itu.
“Apa yang saya tahu, wanita itu tidak bekerja, suaminya pula dikatakan ditahan polis dan kini berada di penjara. Melihat kepada keadaan ini, dia mungkin tertekan, tambahan pula bekalan elektrik dipotong kerana gagal membayar bil.
“Bayangkan tinggal bersama anak kecil tanpa bekalan elektrik, itu amat sukar. Bekalan makanan pun tak tahu ada atau tidak. Saya sangat simpati dengan keadaan mangsa,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan perumahan itu.
Bercerita lanjut, beliau berkata, jiran-jirannya yang tinggal di blok sama dengan mangsa memaklumkan mereka telah terhidu bau busuk sejak 21 Jun lalu.
“Jiran-jiran dari tingkat atas, bawah dan aras sama semua mengadu terbau busuk yang sangat kuat. Mereka sangka bau sampah atau bangkai haiwan dan telah memaklumkan kepada pihak pengurusan pangsapuri.
“Misteri bau busuk itu akhirnya terungkai pada petang semalam apabila polis menjumpai mayat wanita dan anak kecilnya di dalam bilik utama rumah,” katanya.
Beliau menambah, wanita itu tidak bergaul dengan jiran-jiran dan kali terakhir dilihat adalah pada Mei lalu.
“Dia jarang dilihat di luar rumah, jika terserempak, dia hanya senyum sahaja.
“Kali terakhir jiran-jiran nampak dia adalah dua bulan lalu. Tak sangka dia sudah meninggal dunia dalam keadaan seperti itu,” katanya.
Terdahulu, polis mengesahkan kes kematian dua beranak yang ditemui dalam keadaan reput di sebuah unit pangsapuri tiga bilik di Jalan Bukit Gambir di sini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Anggota bomba terpaksa memecah pintu kediaman mangsa selepas polis menerima laporan menegenai bau busuk dari rumah tersebut. - Foto Sinar Harian
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 4.41 petang mengenai bau busuk yang disyaki datang dari sebuah rumah di kawasan berkenaan.
Menurutnya, sebaik pintu rumah berjaya dibuka dengan bantuan bomba, pemeriksaan mendapati terdapat dua mayat reput iaitu seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan di bilik utama rumah berkenaan.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa masing-masing berusia 40 dan dua tahun.
Mereka dipercayai mempunyai hubungan ibu dan anak berdasarkan dokumen pengenalan diri yang ditemukan. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami