NATIONAL
Mayat dua bersaudara: Polis rakam percakapan jiran, ahli keluarga

Siasatan lanjut oleh polis ke atas kes kematian dua bersaudara masih dijalankan dan siasatan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seramai lima individu telah dirakamkan percakapan berhubung kes penemuan mayat dua bersaudara di sebuah rumah di Semenyih yang dipercayai menjadi mangsa pembunuhan, pada Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, kesemua individu itu termasuk jiran dan ahli keluarga mangsa.
"Masih ada lagi beberapa orang saksi telah dipanggil dan akan hadir memberikan keterangan pada esok (Isnin) bagi membantu siasatan.
"Bagaimanapun setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.Ditanya mengenai bilakah kedua-dua mangsa meninggal dunia, Naazron berkata, pihaknya tidak dapat menentukan dengan tepat setakat ini.
"Namun, melalui pendapat pakar, 'maggots' (ulat) dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis jangka hayat mayat kemungkinan lebih dari tujuh hari.
"Setakat ini, kedua-dua mayat mangsa masih belum diserahkan kepada keluarga mangsa," ujarnya.
Pada Sabtu, dua bersaudara ditemukan maut di sebuah rumah di Semenyih, dipercayai menjadi mangsa pembunuhan.
Naazron berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.43 malam, hasil makluman seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang mengesyaki sesuatu selepas terhidu bau busuk dari rumah kakaknya.
Katanya, maklumat awal mendapati kakak pengadu berumur 53 tahun yang tinggal bersama anak saudara lelaki berumur 25 tahun sudah hampir 10 hari tidak kelihatan di kawasan rumah mereka.
"Rumah mangsa dipecah masuk dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Pemeriksaan menemui dua tubuh terbaring di ruang tamu yang disahkan sudah meninggal dunia.
"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat sesak nafas," katanya.
Naazron berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan siasatan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan R K Umesh di talian 012-6114900 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami