Ringkasan AI
- Dua calon baharu dari BN dan PH bertanding kerusi DUN Ayer Molek pada 14 November, dengan jumlah pengundi meningkat kepada 24,614 orang.
- Isu utama penduduk melibatkan kekurangan kemudahan sekolah agama dan masjid, terutama di Kampung Paya Dalam akibat pertambahan kawasan perumahan.
- Calon BN fokus rundingan naik taraf sekolah agama, manakala calon PH cadang pembinaan sekolah dan masjid baharu bagi memenuhi keperluan penduduk.
AYER MOLEK: Dua muka baharu menjadi taruhan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek pada 14 November ini.
Calon BN, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali mahu mempertahankan kubu tradisi parti itu, manakala calon PH, Muhammad Hakimin Mokhtar, berusaha menawan kerusi yang belum pernah dimenangi gabungan berkenaan.
Mohd Ridhwan mempertaruhkan pengalaman bekerja dengan agensi kerajaan bagi membantu menyelesaikan masalah penduduk dengan lebih berkesan.
"Pengalaman pernah berada dalam agensi kerajaan dan bekerja bersama agensi-agensi yang lain, memahami sistem bagaimana kerajaan bergerak dan di mana aduan patut dibawa dan siapa yang patut kita bertemu," katanya.
Hakimin pula melihat Ayer Molek mempunyai potensi pembangunan yang masih boleh diterokai, meskipun mengakui persaingan di kawasan itu bukan mudah.
"Saya pilih Ayer Molek kerana mahukan satu cabaran yang baharu. Kalau kita lihat kedudukannya berdekatan dengan bandar, tapi pembangunannya tak setara dengan kawasan keliling dia," katanya.
Pada PRN 2021, BN memenangi kerusi itu menerusi Datuk Rahmad Mariman dengan majoriti 2,802 undi. Jumlah pengundi kini meningkat kepada 24,614 orang berbanding 17,863 pada pilihan raya lalu.
Sekolah agama, masjid jadi perhatian penduduk
Pertambahan kawasan perumahan di Ayer Molek meningkatkan keperluan terhadap kemudahan pendidikan agama dan masjid, khususnya di Kampung Paya Dalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Paya Dalam, Umros Mariman berkata, kekurangan bilik darjah menyebabkan sebahagian murid sekolah agama terpaksa menumpang di sekolah kebangsaan berhampiran.
"Tanah dah ada, tiada masalah tentang tanah cuma kita mohon untuk peruntukan bangunan. Bangunan sedia ada tidak mencukupi, anak-anak murid terpaksa menumpang di kelas Sekolah Kebangsaan Paya Dalam untuk belah petang," katanya.
Penduduk turut berharap pembinaan masjid baharu disegerakan kerana kemudahan sedia ada semakin terhad untuk menampung pertambahan jemaah.
Mengulas perkara itu, Mohd Ridhwan berkata, usaha menaik taraf sekolah agama memerlukan rundingan dengan pihak berkaitan, termasuk mengambil kira kekangan peruntukan kerajaan negeri.
"Jika diberikan mandat, saya akan bantu untuk kita runding bagaimana cara yang terbaik bagi menyelesaikan isu naik taraf ataupun pembinaan baharu," katanya.
Hakimin pula mencadangkan pembinaan sekolah dan masjid baharu bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin meningkat.
"Saya akan cuba sedaya upaya memohon di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim… Jika berpeluang, tambah lebih kurang dua masjid dan mungkin boleh tambah satu sekolah rendah, satu sekolah menengah," katanya.