Mayat kanak-kanak hilang ketika main jet ski ditemui

Muhafandi Muhamad
Mei 15, 2021 05:25 MYT
Jet ski mangsa (kiri) yang ditemui tersadai di bawah pokok selepas kejadian dan mayat Mohd Firas Naufal yang ditemui pagi ini. - Foto JBPM Kelantan/Astro AWANI
BACHOK: Mayat kanak-kanak yang hilang ketika bermain jet ski di sungai dekat Kampung Pangkalan Baru di sini semalam, ditemukan sekitar jam 9.20 pagi ini.
Mohd Firas Naufal Mohd Zarmizi, 4 tahun, berjaya ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) selepas lebih 15 jam dia dilaporkan hilang bersama bapanya.
Penemuan dibuat tidak jauh dari kawasan kanak-kanak itu dilaporkan hilang.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba, Yus Heary Mahmud, mayat Mohd Firas Naufal ditemukan pasukan SAR yang menyambung operasi pencarian jam 7 pagi tadi.
Bagaimanapun, bapanya Mohd Zarmizi Hussein, 37 tahun, masih belum ditemui.
BACA: Lelaki bersama anak empat tahun hilang ketika main jet ski
Semalam, Mohd Zarmizi dikatakan membawa anaknya ke sungai berkenaan untuk menguji sebuah jet ski yang baru dibeli.
Kedua-duanya dikhuatiri lemas apabila hilang di kawasan sungai berkenaan sekitar jam 6 petang.
Mangsa yang beralamat di Kampung Pengkalan Chengal di sini dikatakan ke sungai berkenaan bersama ahli keluarga yang lain.
Pencarian dilakukan membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Bachok, Angkatan Pertahanan Awam serta polis.
#bomba #hilang #mayat #polis #lemas #mangsa #operasi #Bachok #jetski #jenazah #Kanak-kanak #Kampung Pangkalan Baru #Sungai #Yus Heary Mahmud