KLANG:Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan menemui satu mayat di dalam sebuah longkang di Jalan Bestari, Sungai Kapar, Klang pada 24 Oktober lalu pada jam 1.19 petang

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, mayat tanpa identiti berkenaan dipercayai warga asing hasil daripada laporan bedah siasat.

“Kita menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki Melayu berhubung penemuan mayat berkenaan.

“Tiada sebarang dokumen diperoleh daripada si mati dan mangsa berusia lingkungan 50an dan mempunyai jambang yang panjang sehingga dada,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Mayat yang ditemui dalam keadaan terlungkup itu dikatakan berpakaian kurta berwarna ungu serta seluar pendek berwarna putih.

Difahamkan, mayat berkenaan dalam keadaan tidak sempurna dan dianggarkan sudah berada hampir seminggu di lokasi penemuan  sebelum dibawa oleh pasukan forensik .

Pihak polis meminta mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.