TUMPAT: Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan tangan dan kaki diikat serta muka ditutup dengan ikatan kain di tebing Sungai Golok, di kampung Simpangan, di sini pagi tadi.

Mayat berkenaan ditemukan oleh orang awam sekitar jam 7.25 pagi tadi.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat, Superitendan Tan Seng Lee lelaki berkenaan dipercayai berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun dengan identiti belum dikenal pasti ditemui dalam keadaan terlengkup di kawasan berkenaan.

"Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan yang berada di lokasi kejadian membantu siasatan turut mendapati mayat lelaki bangsa yang tidak pasti dalam keadaan terapung serta telengkup di dalam sungai Golok.

"Pemeriksaan ke atas mayat mendapati kedua-dua tangan dan kaki diikat serta muka ditutup dengan ikatan kain. Mayat dijumpai dalam keadaan bogel dan mangsa tiada kesan suntikan BCG," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Seng Lee lagi, mayat berkenaan dipercayai sudah berada di dalam air melebihi 24 jam.

Susulan itu, pihaknya telah berjumpa dengan penduduk Thailand di seberang sungai Golok bagi mendapatkan maklumat.

Mayat telah dihantar ke unit forensik hospital untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama pihak polis Kelantan akan berhubung dan bekerjasama dengan pihak berkuasa selatan Thailand dalam menjalankan siasatan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ahli keluarga yang hilang boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat ASP Md Sani Md Saleh di talian 012-9216944 atau balai polis berdekatan.