Mayat nelayan 80 tahun yang hilang di perairan Tanjung Hantu ditemui

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 10, 2021 05:32 MYT
Mayat Amat Bepam Shah ditemui nelayan tempatan di kedudukan kira-kira 6.2 batu nautika barat daya Pulau Talang.
LUMUT: Mayat seorang nelayan tempatan berusia 80 tahun yang hilang di perairan Tanjung Hantu pada Khamis lalu, ditemui petang semalam.
Mayat mangsa ditemui nelayan tempatan di kedudukan kira-kira 6.2 batu nautika barat daya Pulau Talang sekitar pukul 3 petang.
Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Sharizan Raman berkata, sejurus mendapat maklumat itu Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi telah mengatur gerak aset ke lokasi.
Menurutnya, aset Maritim Malaysia telah diarah ke titik koordinat bagi melakukan proses pengambilan mangsa bersama aset Pasukan Polis Marin (PPM).
“Mayat kemudiannya dibawa ke jeti PPM Kampung Acheh dan tiba sekitar jam 5 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
BACA: Nelayan berusia 80 tahun dikhuatiri hilang di perairan Tanjung Hantu
BACA: Operasi SAR nelayan 80 tahun hilang di perairan Tanjung Hantu diperluas
Menurutnya, mangsa yang dikenali dengan panggilan Amat telah disahkan oleh anaknya sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Pada Khamis, mangsa yang dikenali sebagai Amat Bepam Shah disyaki hilang di perairan Tanjung Hantu pada kedudukan lebih kurang 1.3 batu nautika barat daya Tanjung Hantu sekitar pukul 2.20 petang.
Mangsa dari Pulau Pangkor disyaki terjatuh ke laut semasa melakukan aktiviti penangkapan ikan.
#Amat Bepam Sha #nelayan 80 tahun #perairan Tanjung Hantu #Pulau Talang #Pasukan Polis Marin