SIK: Mayat seorang pemancing yang lemas di Tasik Gubir ditemukan pada Rabu.

Mayat Muhammad Amirul Akmal Rashid, 29, ditemukan terapung di tengah sungai pada jarak 50 meter dari tempat kejadian jam 4.47 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, mayat ditemukan pasukan bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk kampung dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disambung semula awal pagi tadi.

“Mayat ditemuikan lengkap berpakaian dan mayat kemudian diangkat ke dalam bot bomba dan di bawa ke jeti sebelum di hantar ke Hospital Sik untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Jelas Abdull Razak, dengan penemuan mayat mangsa, operasi SAR ditamatkan dan kematian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan, mangsa lemas selepas dibawa arus deras di sebuah pulau ketika meniti tebing untuk ke darat.

Mangsa bersama tujuh rakan lain pergi ke tasik itu pada Ahad lalu untuk memancing.

Namun pada awal pagi Isnin mangsa bersama lima rakan lain telah menaiki bot untuk memancing di kawasan tasik dan meninggalkan dua lagi rakan lain di kawasan perkhemahan.

Bagaimanapun jam 1.30 tengah hari mereka berlima telah kembali ke kawasan tapak perkhemahan untuk menjala ikan di tepi sungai tersebut.

Sewaktu mangsa turun dari bot untuk menuju ke tapak perkhemahan melalui laluan sungai tiba-tiba air sungai telah bertukar menjadi deras dan laju dan menyebabkan mangsa dan rakan lain panik dan cuba melarikan diri ke tebing sungai.

Mangsa gagal diselamatkan selepas dibawa arus deras.