Mayat seorang lagi mangsa lemas di Pantai Penunjuk Kijal ditemukan terapung

Nur Fazlizai Ali
Mei 25, 2022 02:20 MYT
Mayat itu dikesan terapung kira-kira 40 kilometer daripada lokasi mangsa dilaporkan lemas oleh pasukan penyelamat berhampiran Teluk Air Tawar. - Astro AWANI
KEMAMAN: Mayat seorang wanita yang dikhuatiri lemas ketika mandi bersama suaminya di Pantai Penunjuk, Kijal pada Jumaat lalu ditemui.
Mayat Rokiah Abd Rahman, 59, ditemukan selepas lima hari operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohd Mazimi Mohamad berkata mayat mangsa yang masih lengkap berpakaian dijumpai kira-kira jam 7.15 malam pada Selasa.
Katanya mayat itu dikesan terapung kira-kira 40 kilometer daripada lokasi mangsa dilaporkan lemas oleh pasukan penyelamat berhampiran Teluk Air Tawar, Pulau Tanggol.
Jelasnya mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Pada awal pagi Jumaat Ahmad Qarib Ab Kadir, 60, bersama isterinya, Rokiah dipercayai lemas ketika mandi di pantai tersebut.
Pasangan yang berasal dari Temerloh, Pahang itu dikatakan turun ke pantai berkenaan kira-kira jam 4 pagi untuk mandi.
Bagaimanapun, mayat Ahmad Qarib berjaya ditemukan kira-kira jam 2.10 petang Jumaat sekitar jarak dua batu nautika dari Kuala Kemaman.
BACA: Mayat seorang mangsa lemas di Pantai Penunjuk Kijal ditemukan terapung
#wanita #lemas #Pantai Penunjuk #mayat