KUALA LUMPUR: Maybank menawarkan saluran yang mudah kepada para pelanggannya untuk memilih moratorium enam bulan berkuat kuasa hari ini.

Bank itu dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya turut menawarkan pilihan tambahan bantuan pembayaran balik (RA) pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus untuk enam bulan bagi pelanggan yang mahukan alternatif selain moratorium.

Bank berkenaan meminta pelanggan untuk memohon pelan tersebut menerusi laman Bantuan Bayaran Balik Maybank2u COVID-19 di www.maybank2u.com.my/covid19 atau memohon secara dalam talian melalui Maybank2u (tersedia mulai 20 Julai 2021).

"Moratorium bagi ansuran bulanan atau pelan RA merangkumi semua pinjaman dan pembiayaan, tidak termasuk kad kredit, dan layak bagi individu termasuklah yang berpendapatan di bawah 40 peratus (B40), pertengahan 40 peratus (M40) dan atas 20 peratus (T20); kesemua perusahaan mikro, dan perusahaan kecil dan sederhana yang terjejas oleh pandemik COVID-19," katanya.

Bagi kemudahan kad kredit tidak termasuk kad caj, Maybank akan menawarkan untuk menukarkan baki hutang menjadi pinjaman berjangka tiga tahun dengan kadar faedah yang dikurangkan bagi peminjam supaya dapat menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik.

Pihak bank juga memberi jaminan kepada pelanggan yang memilih moratorium atau RA bahawa rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) tidak akan terjejas dan tidak perlu risau tentang kesan pada profil kredit mereka.

Maybank berkata pelan itu layak untuk pinjaman atau pembiayaan yang diluluskan pada atau sebelum 30 Jun 2021, dan tidak tertunggak lebih daripada 90 hari pada tarikh permohonan diserahkan kepada bank.