ALOR SETAR:Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menafikan dakwaan yang menyifatkan beliau menghina kaum India dalam kenyataan yang dikeluarkannya berhubung isu perobohan Kuil Sri Raja Munisarar di Kuala Kedah, 1 Disember lalu.

Sanusi berpendapat, banyak pihak cuba menuduhnya menyatakan sesuatu yang tidak pernah dikatakannya selain sengaja memutar belit kenyataan beliau berkaitan isu berkenaan.

Tambah beliau, penggunaan beberapa perkataan yang telah mencetuskan kontroversi sejak beberapa hari lalu pula merupakan kata kiasan atau bidalan bagi menggambarkan makna tersirat di sebaliknya.

Tegas Sanusi, pihak-pihak yang terlibat dalam manabur berita palsu terhadapnya disifatkan individu yang "terlebih lajak daripada laju" yang sentiasa dahagakan publisiti murahan.

"Saya tiada apa-apa penghinaan kepada kaum India. Ada bahasa kiasan, ada bahasa bidalan, bahasa bidalan bukan membawa maksud yang sebenar, contohnya lebih sudu daripada kuah, mana ada sudu lebih daripada kuah, tapi ada bidalan macam itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mendengar taklimat khas oleh Lembaga Wilayah Kemajuan Kedah (KEDA) di Ibu Pejabat KEDA, di sini pada Isnin.

BACA: MB Kedah perlu mohon maaf atas kenyataan berunsur perkauman - Exco Pemuda UMNO

Pada Ahad, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris menyelar sikap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang memberikan perumpamaan 'minum todi' ekoran bantahan yang dibuat oleh MIC dan DAP terhadap isu perobohan kuil Hindu pada 1 Disember lalu.

Wan Muhammad Azri yang lebih dikenali sebagai Papa Gomo berkata, kenyataan yang dikeluarkan Sanusi itu sesuatu yang biadap dan tidak beretika sama sekali.

Katanya, kenyataan Menteri Besar Kedah itu telah melemparkan telah satu persepsi tidak baik terhadap satu-satu kaum.

Dalam tegurannya kepada pemimpin MIC dan DAP, Sanudi memberikan perumpaan ‘mabuk todi’ kerana mahu menjadi jaguh kaum dalam isu kuil diroboh.