SERI MENANTI: Kerajaan Negeri Sembilan mengisytiharkan esok, 3 Ogos, sebagai cuti hari peristiwa selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Perkara itu diumumkan Menteri Besar Datuk Ismail Lasim yang berkata langkah itu sebagai penghargaan kepada rakyat yang telah menjayakan proses demokrasi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
“Alhamdulillah, saya mengucapkan kesyukuran dan berterima kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang telah memperkenankan saya selaku Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Baginda juga telah berkenan untuk saya mengumumkan cuti umum esok, Isnin 3 Ogos. Ini sebagai penghargaan kepada rakyat Negeri Sembilan.
“Semua pihak telah menjalankan proses demokrasi pilihan raya. Ramai yang rasa letih dan sebagainya.
"Jadi, esok kita beri peluang untuk bercuti,” katanya dalam sidang media selepas upacara angkat sumpah serta Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini.
Ismail, 67, yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.