ARAU: Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man tidak menyertai kumpulan terawal menerima vaksin COVID-19 di negeri itu pada Isnin kerana mahu mengutamakan petugas barisan hadapan serta rakyat yang memerlukan.

Beliau berkata, ia berikutan jumlah bekalan vaksin untuk pelaksanaan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Perlis adalah terhad.

"Apa yang lebih utama ialah rakyat, jika ada lebihan insya-Allah saya akan ambil kemudian," katanya kepada pemberita pada pelancaran fasa pertama program itu di peringkat negeri, di Klinik Kesihatan Kampung Gial, di sini pada Isnin.

Seramai 180 petugas barisan hadapan menerima vaksin tersebut di klinik kesihatan berkenaan, selain 108 di Klinik Kesihatan Beseri dan 54 di Klinik Kesihatan Felda Chuping pada program yang berlangsung serentak bermula 9.45 pagi.

Turut menerima dos pertama hari ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Perlis, Teh Chai Ann; Setiausaha Kerajaan Negeri, Azman Mohd Yusof dan Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad.