Pemuda Gerakan menggesa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim memberi penjelasan berhubung serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Persatuan Bible Malaysia (PBM).

Dalam serbuan di Damansara Kim itu, sebanyak 300 bible versi Bahasa Malaysia dan Iban turut dirampas.

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata tindakan tersebut boleh menimbulkan keresahan serta kebimbangan di kalangan masyarakat Kristian di Selangor dan juga seluruh negara.

“Menteri Besar Selangor mesti membuat penjelasan tanpa berlengah atau membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu.

“Langkah berkenaan nyata sekali bertentangan dengan apa yang dilaungkan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat,” katanya dalam sebuah kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, Exco agama negeri Selangor, Solehin Muhyi berkata beliau tidak tahu menahu tentang serbuan yang dilakukan oleh JAIS itu.

Menurut portal berita The Malaysian Insider, Solehin tidak tahu tentang perkara itu sehinggalah ia dimaklumkan kepadanya.

Malah, menurut The Malaysian Insider lagi, Timbalan Pengarah JAIS Ahmad Zaki juga telah mendakwa tidak tahu tentang serbuan tersebut meskipun beliau merupakan timbalan pengarah bagi jabatan itu.

Katanya, beliau tidak dapat memberi sebarang komen mengenai penangkapan tersebut kerana yang boleh memberi kenyataan hanyalah pengarah.

Terdahulu, lebih 20 kakitangan dari JAIS bersama-sama dengan dua anggota polis telah menyerbu Persatuan Bible Malaysia di Damansara Kim, Selangor.

Selain rampasan, polis turut meminta pengerusi dan setiausaha agung persatuan itu, Lee Min Choon dan Simon Wong mengiringi mereka ke Balai Polis Damansara Utama untuk memberi kenyataan.

Ketika serbuan dibuat jam 2 petang tadi, premis tersebut tidak dibuka kerana sedang membuat pengiraan stok.

Menurut laporan, berlaku sedikit kekecohan ketika serbuan itu kerana kakitangan persatuan berkenaan enggan membenarkan kakitangan JAIS dan polis memasuki premis kerana dipercayai tidak mempunyai waran.