MBAS nilai semula cukai taksiran

Mohamad Yusrizal (tiga, kiri) menunjukkan memorandum bantahan penilaian semula cukai taksiran MBAS yang dihantar kepada Abdul Gafar (dua, kiri) di Pejabat Bangunan MBAS, hari ini. - Gambar Bernama
ALOR SETAR: Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) kini sedang menjalankan proses penilaian semula cukai taksiran baharu, sebelum ia dikuatkuasakan bermula 1 Jan 2026.
Datuk Bandar Alor Setar Datuk Abdul Gafar Yahya berkata penilaian semula itu wajar, setelah 32 tahun (sejak 1993) tidak dilaksanakan di kawasan pentadbirannya.
Beliau berkata sebanyak 95,170 pegangan atau pemilik telah menerima notis penilaian baharu, yang mula diedarkan melalui pos sejak 9 Okt.
"Semakan semula ini, selaras dengan peruntukan Seksyen 137 dan Seksyen 41 Akta Kerajaan Tempatan 1976, serta bertujuan menyelaraskan kadar cukai dengan nilai semasa hartanah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Abdul Gafar berkata kadar peratus yang digunakan mengikut kategori pegangan atau jenis harta selaras dengan peruntukan Seksyen 130 (3)(a) antaranya kediaman, perniagaan, industri, bangunan persatuan, harta khas dan lot kosong iaitu antara 0.03 peratus hingga 0.4 peratus.
Bagaimanapun beliau berkata MBAS masih memberi ruang kepada pemilik membuat bantahan, jika mereka tidak berpuas hati dengan nilai cukai taksiran baharu ini.
"Bantahan boleh dikemukakan di tingkat 3 Kompleks Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini, sebelum berakhir pada 5 Nov ini.
"MBAS sentiasa ingin memastikan keadilan kepada pemegang hartanah dan membuka ruang seluasnya sebelum taksiran cukai baharu dilaksanakan," katanya.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) hari ini hadir menyerahkan memorandum bantahan penilaian cukai taksiran baharu yang didakwa membebankan rakyat kepada Datuk Bandar di pejabat MBAS di sini.
Pesiden CAKE Mohamad Yusrizal Yusoff melalui memorandum itu meminta MBAS menangguhkan dahulu penilaian tersebut, sehingga kajian terperinci dibuat bagi menggelakkan beban kepada pengguna.
Mohamad Yusrizal berkata MBAS juga diminta agar tidak menaikkan cukai secara mendadak dan kenaikan sehingga dua kali ganda atau lebih sangat membebankan pengguna.
"Pihak MBAS juga perlu memberi lebih banyak ruang melanjutkan masa membuat bantahan sekiranya nilai taksiran baharu tidak dipersetujui pemilik.
"MBAS juga perlu proaktif turun ke kawasan perumahan dan premis perniagaan bagi menerangkan dan membincangkan isu ini agar lebih jelas kerana masih ramai tidak mendapat maklumat tepat dan sahih," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


