IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bakal menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negeri ini dan Zon Utara terpilih melaksanakan projek perintis penurapan semula jalan menggunakan teknologi Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan atau Cuplump Modified Asphalt (CMA).

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, di Malaysia, MBI dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah terpilih untuk melaksanakan projek perintis itu.

Beliau berkata, MBI menerima peruntukan sebanyak RM5 juta melibatkan kerja-kerja pembaikan dan penurapan semula jalan sepanjang 9.5 km melibatkan sebahagian Kawasan Perindustrian Tasek, sebahagian kawasan Perindustrian IGB, sebahagian Jalan Bendahara dan sebahagian jalan utama di Station 18.

"Kerja penurapan jalan ini dijangka dimulakan pada pertengahan Oktober ini dan dijangka siap dalam tempoh empat hingga enam minggu," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Jumaat.

Rumaizi berkata, CMA ialah kaedah penurapan jalan baharu menggunakan bitumen (tar) dan getah beku sebagai bahan campuran asfalt yang boleh mengurangkan keretakan, aluran dan kos penyelenggaraan masa panjang yang menjimatkan.

Untuk tempoh jangka masa panjang, kos penyelenggaraan CMA menjimatkan berbanding turapan konvensional dengan jangka hayat jalan lebih baik.

Penggunaan CMA juga bersesuaian kerana mempunyai daya tahan terhadap beban berat dan amat sesuai dilaksanakan di kawasan perindustrian dan jalan utama.

"Kaedah CMA dilihat mampu menahan cuaca ekstrem, malah ia lebih tahan terhadap turun naik suhu dan kondisi cuaca hujan serta panas selain mengurangkan kerosakan permukaan turapan disebabkan tumpahan bahan bakar kenderaan," katanya.

Beliau berkata teknologi itu juga mampu mengurangkan pelepasan karbon rumah hijau dengan penggunaan campuran getah bekuan bagi mengurangkan penggunaan bitumen dalam penghasilan bahan turapan jalan.
- BERNAMA