IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak menghalang warga kota untuk melakukan aktiviti pertanian dengan menanam sayur-sayuran dan memelihara haiwan ternakan yang sesuai di bandar.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, bagaimanapun permohonan kepada MBI perlu dibuat terlebih dahulu bagi tujuan penilaian, selaras dengan garis panduan pertanian bandar dan kebun komuniti bandar MBI.

Di bawah garis panduan berkenaan, katanya MBI membenarkan penanaman tanaman kontan seperti kobis, cili, sawi, terung dan sebagainya di kawasan yang dibolehkan.

Rumaizi menjelaskan, MBI menyambut baik sekiranya ada warga kota yang berminat untuk membangunkan kira-kira lebih 2,000 hektar tanah terbiar di sekitar bandar raya dengan aktiviti berkenaan.

“Baru-baru ini kita ada meluluskan permohonan untuk pertanian bandar di kawasan Pasir Pinji. Pemohon telah memohon untuk menanam cili di atas tanah berkeluasan kira-kira 4,000 kaki persegi.

“Tanah itu merupakan tanah Kampung Baru yang berstatus rumah dan untuk itu, kita minta kebenaran untuk tukar status tanah berkenaan kepada tanah pertanian sementara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Acara ‘Kinta Food Hero’ anjuran Junior Chamber International (JCI) Kinta, Bond Holdings Sdn Bhd dan MBI di sini pada Khamis.

Tambah Rumaizi lagi, ketika ini dianggarkan 100 permohonan untuk pertanian bandar dan kebun komuniti bandar telah diluluskan sejak diperkenalkan dua tahun lalu.

Bagi aktiviti haiwan ternakan, beliau menjelaskan permohonan untuk aktiviti berkenaan juga boleh dibuat namun beberapa kriteria perlu dipatuhi seperti tidak membabitkan kawasan luas dan menimbulkan kacau ganggu setempat.

Katanya selain arnab dan burung puyuh, kebenaran untuk menternak haiwan lain seperti ayam juga akan melalui proses penilaian yang sama.

“Untuk ternakan seperti ayam, ia perlu mengikut zon yang sesuai. Misalnya jika permohonan membabitkan kawasan padat seperti di tengah-tengah bandar, kita tidak benarkan.

“Akan tetapi jika melibatkan kawasan tidak padat  atau di pinggir bandar seperti di Ulu Kuang, kita benarkan. Namun konsepnya adalah ternakan ayam reban kecil,” ujarnya.

Dalam pada itu Rumaizi memberitahu MBI telah menggerakkan kempen menggalakkan aktiviti pertanian bandar dengan membabitkan kerjasama beberapa pihak seperti Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC), Jabatan Pertanian Negeri serta wakil-wakil rakyat.

Katanya lagi, semua Ahli Majlis MBI juga turut digerakkan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat di peringkat akar umbi berhubung aktiviti berkenaan.

Terdahulu Rumaizi diminta mengulas tentang saranan kerajaan negeri supaya rakyat dapat menanam sayur-sayuran dan memelihara haiwan ternakan untuk kegunaan sendiri susulan kekurangan bekalan makanan yang dihadapi ketika ini.

Pada Selasa, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dilaporkan berkata langkah itu juga merupakan antara inisiatif bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat yang terkesan akibat kenaikan harga beberapa produk pertanian dan penternakan ketika ini.