SUKAN
McEvoy, Walsh, McKeown rangkul emas Kejohanan Akuatik Dunia

Dari kiri, McEvoy, Proud dan Alexy, bersama medal yang dimenangi masing-masing pada acara 50 meter gaya bebas Kejohanan Akuatik Dunia di Singapura, 2 Ogos 2025. (Foto AP)
SINGAPURA: Perenang Australia Cameron McEvoy menewaskan Ben Proud dari Britain untuk merangkul gelaran juara dunia acara 50 meter gaya bebas pada Sabtu, setahun selepas turut mengatasi pencabarnya itu untuk pingat emas di Sukan Olimpik Paris, lapor agensi berita Jerman dpa.
McEvoy mencatat masa 21.14 saat di Singapura, menewaskan Proud dengan kelebihan 0.12 saat untuk meraih emas dunia keduanya dalam acara itu, selepas meraihnya buat kali pertama pada 2023. Jack Alexy dari Amerika Syarikat (AS) meraih gangsa.
Sementara itu, perenang AS Gretchen Walsh mempamerkan aksi cemerlang apabila menambah emas 50m kuak kupu-kupu kepada koleksi emas 100m miliknya, dengan kemenangan bergaya.
Walsh menamatkan saingan dengan masa 24.83 saat, hampir setengah saat di hadapan wakil Australia Alexandria Perkins yang ketinggalan 0.48 saat. Pemenang perak 100m, Roos Vanotterdijk, meraih gangsa."Saya sangat bangga, ini satu renangan hebat selepas minggu yang mencabar," kata Walsh, merujuk kepada jangkitan virus yang menjejaskan pasukan AS dan beberapa pasukan lain.
Juara Olimpik dua kali Kaylee McKeown dari Australia turut cemerlang di penghujung perlumbaan apabila merangkul gelaran dunia ketiganya dalam acara 200m kuak lentang dengan catatan 2 minit 3.33 saat - hanya sedikit di belakang rekod dunianya.
Regan Smith dari AS meraih perak dengan ketinggalan 0.96 saat, menjadikannya perak keempat dalam kejohanan ini, manakala rakan senegara Claire Curzan membawa pulang gangsa.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami