MALAYSIA

MCMC pertimbang saman X, Grok disekat sementara kerana kandungan tidak senonoh

Bernama 13/01/2026 | 04:30 MYT
Fahmi menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI Negeri Selangor dan Kuala Lumpur di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam, hari ini. -- fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti tindakan perundangan terhadap platform X, susulan kegagalan aplikasi kecerdasan buatan (AI) miliknya Grok, mematuhi undang-undang Malaysia berkaitan keselamatan dalam talian.


Ringkasan AI
  • MCMC sedang meneliti tindakan undang-undang terhadap platform X kerana aplikasi Grok gagal patuhi undang-undang keselamatan dalam talian Malaysia.
  • Pihak X didapati tidak memadai dalam menjelaskan isu kandungan tidak senonoh dalam aplikasi, menyebabkan sekatan sementara dikenakan terhadap Grok.
  • Fahmi Fadzil mengarahkan tindakan undang-undang jika langkah keselamatan aplikasi tidak memadai, sambil menekankan pentingnya pematuhan undang-undang negara dalam hal ini.


Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu dipertimbangkan berikutan maklum balas yang diterima MCMC daripada pihak X didapati tidak memadai dan bersifat proforma (sekadar mengikuti tata cara yang berlaku).

"MCMC telah menghubungi pihak X minggu lepas bagi mendapatkan penjelasan mengenai aplikasi Grok yang boleh menghasilkan kandungan tidak senonoh, terutama melibatkan kanak-kanak dan wanita, yang jelas melanggar undang-undang negara.

"Maklum balas yang diterima sangat tidak memadai. Jadi selepas saya menerima laporan daripada MCMC, saya telah mengarahkan supaya sekatan sementara dikenakan terhadap Grok dan tindakan undang-undang turut dipertimbangkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Selangor dan Kuala Lumpur di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Fahmi berkata sekatan berkenaan tidak melibatkan keseluruhan platform X, sebaliknya tertumpu kepada aplikasi Grok yang didapati tidak mempunyai langkah keselamatan mencukupi bagi mengawal penjanaan kandungan oleh AI.

Manakala tempoh sekatan terhadap Grok bergantung sepenuhnya kepada tahap pematuhan pihak X terhadap undang-undang Malaysia.

"Isu ini melibatkan pelanggaran Akta Komunikasi dan Multimedia serta Akta Keselamatan Dalam Talian. Selagi kandungan yang melanggar undang-undang terus boleh dihasilkan dan diterbitkan, tindakan boleh diambil terhadap platform terbabit.

"Berapa lama Grok akan disekat, itu tidak dapat dipastikan. Syaratnya jelas, mereka mesti patuh dan akur dengan undang-undang negara kita," katanya.

Fahmi berkata Malaysia bukan satu-satunya negara yang mengambil langkah tegas terhadap Grok, apabila beberapa negara lain termasuk Indonesia telah menyekat aplikasi tersebut, manakala United Kingdom sedang meneliti isu sama.

"Ini menunjukkan kebimbangan global terhadap kegagalan Grok menyediakan safeguard yang mencukupi dalam penggunaan AI," katanya.

Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan akan mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian (JKDT) yang baharu dibentuk dan dipengerusikan oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dalam masa terdekat.

"Kita mahu memastikan Internet di Malaysia menjadi lebih selamat, khususnya untuk kanak-kanak dan keluarga. Undang-undang kita sebenarnya mencukupi, yang penting ialah aspek penguatkuasaan dan pematuhan," katanya.

Terdahulu dalam ucapan, Fahmi berkata kementerian menyasarkan untuk memperoleh kerjasama semua platform media sosial menjelang pertengahan tahun ini, bagi mengehadkan penggunaan media sosial hanya kepada 16 tahun ke atas.

-- BERNAMA



#Fahmi Fadzil #MCMC #saman #Grok #kandungan tidak senonoh #Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian